Tuesday, July 9, 2024

PENGGUNA / PENGENDALI BERDAFTAR PUSAT SEMBELIHAN JABATAN

 

PENGUNA / PENGENDALI BERDAFTAR PUSAT SEMBELIHAN

Aktiviti penyembelihan ternakan adalah dikawal melalui Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 di bawah Subkaedah 5, Larangan Penyembelihan, yang menyebut:

- “(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kaedahkaedah ini, tiada seorang pun boleh menyembelih atau menyebabkan disembelih apa-apa binatang kecuali di rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan dilesenkan.”

 “(2) Mana-mana orang yang menyembelih atau menyebabkan disembelih apa-apa binatang atau menggunakan apa-apa perkhidmatan di mana-mana rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan dilesenkan hendaklah menjadi pengguna berdaftar rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan dilesenkan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.

 “(3) Tiada seorang pun boleh menjual, mempamerkan untuk dijual atau memiliki apa-apa karkas apa-apa binatang yang tidak disembelih di rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan dilesenkan

Kaedah ini jelas menyatakan bahawa sebarang aktiviti penyembelihan ternakan hendaklah dijalankan di rumah sembelih yang dilulus dan dilesenkan.


SYARAT- SYARAT PENDAFTARAN DAN PERATURAN PENGGUNA ABATOIR / PUSAT SEMBELIHAN

  • Pemohon perlu membuat permohonan dengan mengisi dan melengkapkan BORANG PERMOHONAN PENDAFTARAN PENGGUNA BERDAFTAR RUMAH SEMBELIH  ( BORANG 3 - P.U.(A)  213 )
KLIK LINK UNTUK MENDAPATKAN BORANG PERMOHONAN :  ( BORANG 3 - P.U.(A) 213)
  • Pengguna hendaklah mengemukakan salinan Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan dan salinan Kad Pengenalan dan memohon secara dalam talian di http://sihat.dvs.gov.my
  • Pendaftaran pengguna tidak boleh dipindah milik.
  • Tempoh sah laku pendaftaran adalah setahun sekali pada tahun semasa.

SYARAT-SYARAT KHAS PENGGUNA ABATOIR / PUSAT SEMBELIHAN

  • Sekiranya pihak pengurusan abatoir tidak dapat menyediakan khidmat penyembelih atas sebab yang tidak dapat dielakkan, penyembelih yang disediakan oleh pengguna berdaftar wajib mempunyai Sijil Penyembelihan Halal yang masih sah laku dan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.
  • Sekiranya kakitangan abatoir tidak mencukupi dalam pengendalian, penyembelihan dan pemprosesan karkas/daging, pengguna berdaftar adalah dibenarkan menyediakan pekerja tambahan dengan syarat semua pekerja seliaan Pengguna abatoir yang terlibat dengan proses penyembelihan dan pemprosesan karkas/ daging adalah diwajibkan mendapat Suntikan Pelalian Tifoid.

PERATURAN SEBAGAI PENGGUNA ABATOIR / PUSAT SEMBELIHAN

1) Ternakan yang dibawa masuk ke abatoir adalah sihat dan bebas dari penyakit berjangkit serta dianggap sesuai untuk disembelih/ dipotong.

2) Ternakan yang dibawa masuk ke Pusat Sembelihan perlu bertanda pengenalan binatang/ tag dan diiringi dengan dokumen­ dokumen berikut:

  • Sijil Kesihatan Veterinar; dan
  • Permit pindah ternakan antara Daerah/Jajahan atau surat kebenaran pindah ternakan antara Negeri­negeri; atau
  • Permit Import yang dikeluarkan oleh MAQIS (bagi ternakan import).

3) Pihak pengurusan abatoir berhak menolak kemasukan ternakan yang tidak bertanda pengenalan binatang/tag dan tidak diiringi dengan dokumen seperti diperenggan 2.

4) Mematuhi  waktu kemasukan ternakan iaitu antara 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Ternakan hendaklah dibawa masuk sekurang ­ kurangnya 8 jam sebelum disembelih / dipotong dan tidak boleh disimpan melebihi 48 jam.

5) Sekiranya ternakan telah disimpan melebihi 48 jam di kandang/ kurungan, pengurus Pusat Sembelihan berhak dengan mengikut budi bicara menyembelih ternakan tersebut.

6) Ternakan yang disimpan di dalam kandang / kurungan adalah dibawah tanggungjawab pengguna. abatoir tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kematian, kemalangan, kecurian atau kehilangan sekiranya berlaku. Makanan ternakan juga perlu disediakan oleh pengguna sekiranya disimpan melebihi 8 jam sebelum disembelih.

7) Pengguna Berdaftar tidak dibenarkan untuk menggunakan kandang ternakan bagi tujuan belaan.

Ternakan yang dibawa masuk ke abatoir tidak boleh dibawa keluar kecuali dengan alasan­alasan yang munasabah dan mendapat persetujuan bertulis daripada Pengurus Pusat Sembelihan

8) Pengguna bertanggungjawab menurunkan ternakan ke dalam kandang/ kurungan dan mengendalikan penurunan tersebut dengan cara yang sesuai, tidak membahayakan pekerja dan kakitangan abatoir serta mematuhi kebajikan haiwan.

9) Ternakan yang mati semasa di dalam kandang / kurungan adalah dibawah tanggungjawab pengguna dan dilarang dibawa keluar daripada abatoir kecuali dengan kebenaran Pengurus Pusat Sembelihan. Segala kos pelupusan adalah di bawah tanggungjawab pengguna

10) Pengguna atau agennya tidak dibenar/dilarang memasuki dewan penyembelihan/pemotongan kecuali dengan kebenaran pihak pengurusan abatoir.

11) Sekiranya terdapat sebarang kerosakan dan kehilangan harta benda abatoir (kerajaan) yang disebabkan oleh kecuaian/kesalahan pengguna semasa digunakan, kos pembaikan dan ganti rugi perlu dibuat oleh pengguna dan pihak pengurusan abatoir berhak untuk membatalkan pendaftaran jika terbukti kesalahan adalah daripada kelalaian pengguna itu sendiri.

12) Pengguna abatoir bertanggungjawab menjaga kebersihan kandang dan dewan sembelihan serta tidak meninggalkan sisa-sisa karkas (seperti kulit, perut, lemak, usus dll)

13) Pengguna abatoir tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman ke dalam dewan sembelihan.

14) Tidak dibenarkan merokok di mana-mana kawasan premis.

15) Pengguna abatoir wajib mematuhi etika pakaian semasa proses penyembelihan.(Seperti PPE/Gumboots dll)

16) Pengguna abatoir mesti menandatangani borang akuan penerimaan karkas dan organ sebelum keluar dari abatoir.

17) Mana­-mana karkas, daging dan hasilan ternakan yang disembelih/diproses di luar abatoir adalah tidak dibenarkan dibawa masuk dan disimpan di abatoir.

18) Adalah menjadi tanggungjawab pengguna abatoir atau agennya atau orang ramai supaya tidak merakam atau memuatnaik gambar atau video dan ‘memviral’ ternakan semasa proses penyembelihan dan pemprosesan karkas/ daging kerana bimbang menimbulkan salah faham serta tanggapan negatif di kalangan masyarakat. 

19) Pengguna abatoir atau agennya atau kakitangannya wajib membayar fi sembelihan dan lain-lain bayaran perkhidmatan yang digunakan. 

20) Kenderaan bagi mengangkut karkas/daging keluar dari abatoir hendaklah tertutup, bersih, karkas hendaklah digantung atau diletakan alas atau diletakkan dalam bekas yang bersih.

21) Pihak pengurusan abatoir berhak melupuskan daripada mana-­mana bahagian karkas yang difikirkan tidak sesuai untuk dimakan dan berhak mengambil sampel daripada mana­mana bahagian karkas untuk ujian Makmal tanpa perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada pengguna atau agennya.

22) Pengguna abatoir atau agennya atau kakitangannya hendaklah mematuhi semua syarat-­syarat dan peraturan yang ditetapkan dan mematuhi Akta Binatang 1953 ­ Kaedah­-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 serta peraturan oleh pihak Pengurusan Abatoir yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.

23) Penggguna abatoir atau agennya atau kakitangannya diwajibkan membuat permohonan sekurang-kurangnya 7 (Tujuh) hari sebelum hari perayaan bagi tujuan sembelihan sempena hari perayaan. (cth: Hari Raya Korban/Hari Raya Puasa). Sekiranya pihak pengguna berdaftar gagal mengemukakan permohonan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, Pihak Pengurusan Abatoir berhak dengan mengikut budi bicaranya menolak kemasukan ternakan tersebut.

No comments:

Post a Comment