Wednesday, November 23, 2022

PENYEMBELIHAN HALAL: DARI SEGI PANDANGAN ISLAM


PENYEMBELIHAN HALAL: DARI SEGI PANDANGAN ISLAM

طَلَبُ الْحَلاَلِ وَاْجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: "Mencari yang Halal itu adalah Fardhu ( Wajib ) bagi setiap umat Islam"
(Riwayat Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dari Anas r.a.. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini darjatnya hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5270).

  • Menyembelih binatang merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri seorang hamba dengan penciptanya dengan syarat dilakukan mengikut hukum syarak.
  • Penyembelih juga boleh mendapatkan manfaat daripada binatang yang disembelih samada untuk dimakan atau dijual atau disedekahkan seperti aqiqah, qurban, dan membayar dam kerana meninggalkan wajib haji

TAKRIF MENYEMBELIH

  • Menyembelih dari segi bahasa bermaksud potong atau belah atau melukakan bahagian tertentu pada binatang oleh orang tertentu dengan alat tertentu bermaksud menyembelih binatang tersebut.
  • Binatang yang halal dimakan jika tidak  disembelih mengikut hukum syarak, maka dagingnya dianggap sebagai bangkai dan haram dimakan.

Firman Allah SWT :

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah : 173)

HUKUM MENYEMBELIH

  • Hukum menyembelih binatang yang halal dimakan jika mampu dikuasai hukumnya adalah wajib. Bagi binatang yang tidak dapat dikuasai adalah diharuskan melukakan  pada mana-mana  bahagian tubuhnya sahaja dengan maksud menyembelih.

DALIL SEMBELIHAN

Firman Allah S.W.T

فَكُلُوا۟ مِمَّا ذُكِرَ ٱسْمُ ٱللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِـَٔايَٰتِهِۦ مُؤْمِنِينَ

“ …Makanlah dari apa-apa yang disebut nama Allah S.W.T. atasnya jika kamu benar-benar beriman.”

                                                                                                            (Surah al-An’am:118)

Hadis Rasulullah S.A.W.

عَنْ شَدَّادِ بْنِ اَوْسٍ قَالَ: ثِنْتَانِ حَفِظْتُهُمَا مِنْ رَسُوْلِ اللهِ ص. قَالَ: اِنَّ اللهَ كَتَبَ اْلاِحْسَانَ عَلَى كُلّ شَيْءٍ. فَاِذَا قَتَلْتُمْ فَاَحْسِنُوا اْلقِتْلَةَ وَ اِذَا ذَبَحْتُمْ فَاَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَ لْيُحِدَّ اَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيْحَتَهُ. مسلم (رواه مسلم)

Dari Syaddad bin Aus, ia berkata : Dua hal yang aku hafal dari Rasulullah SAW, beliau bersabda, “Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik pada segala sesuatu. Maka apabila kalian membunuh, bunuhlah dengan baik. Dan apabila kalian menyembelih, sembelihlah dengan baik, hendaklah salah seorang diantara kalian menajamkan pisaunya, dan menyenangkan binatang sembelihannya”. (HR. Muslim)

HIKMAH MENYEMBELIH

       Penyembelihan yang dilakukan mengikut hukum syarak dapat memelihara akidah seseorang.

       Membezakan penyembelihan mengikut hukum syarak dengan sebaliknya

       Membezakan antara daging halal dengan haram untuk dimakan.

       Melepaskan nyawa binatang secara mudah tanpa menyakiti dan menyeksa.

       Melahirkan rasa ihsan ke atas binatang bagi memupuk jiwa yang mulia untuk dijadikan pengajaran kepada manusia.

       Dikhususkan sembelihan pada leher kerana ianya lebih hampir dengan tempat keluarnya roh.

       Mengeluarkan darah binatang dengan cepat dan daging bersih daripada darah beku yang terperangkap serta dapat menghindarkan daripada penyakit.  Manakala daging daripada binatang yang tidak disembelih pula menyebabkan mudharat.

Hikmah Penyembelihan Kenapa perlu kita makan daging yg telah disembelih?

KAJIAN SAINS : Hasil ujian haiwan yang disembelih menurut syarak:

Menurut kajian Profesor Wilhelm Schulze dan Dr Hazim di Jabatan Perubatan Veterinar, Universiti Hannover Jerman, Mereka memasang alat pengesan di pelbagai tempat pada otak haiwan untuk mencatatkan rekod electroencephalograph(EEG) dan electrocardiogram (ECG) bagi mengetahui keadaan otak dan jantung haiwan terbabit semasa proses penyembelihan cara Islam dan Barat.

Hasil kaedah Islam mendapati, 

  1. Tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher tersebut. 
  2. Tiga saat kedua pula, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri, disebabkan banyak darah yang mengalir keluar dari badan. 
  3. Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan. Ketika EEG jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Hasil kajian Prof. Schultz dan Dr. Hazim membuktikan yang sebaliknya. Yakni bahawa pisau tajam yang menghiris leher (sebagai syariat Islam dalam penyembelihan haiwan) rupa-rupanya tidaklah ‘menyentuh’ saraf rasa sakit.

kedua-dua pengkaji itu merumuskan bahawa lembu meronta-ronta dan meregangkan otot bukanlah sebagai tanda rasa amat sakit, melainkan sebagai tanda kejutan otot dan saraf sahaja (iaitu pada ketika darah mengalir keluar dengan deras).

Kesimpulan keadaan haiwan ternakan yang disembelih berasa sakit pada tahap yang sangat minima atau hampir tidak merasai sakit ketika disembelih. Haiwan tidak merasai kesakitan semasa disembelih. Ini kerana, keratan pantas salur darah pada leher menghentikan pengaliran darah ke saraf otak yang menyebabkan kesakitan. Binatang tersebut tidak merasai kesakitan ketika hampir mati. Binatang itu meronta, menggeleng, menggeletar dan menendang bukan kerana sakit tetapi akibat penegangan dan pengenduran otot yang kekurangan darah dan akibat pengaliran keluar darah daripada badan (Syaheerah 2009)


RUKUN MENYEMBELIH

  1. Orang menyembelih
  2. Binatang sembelihan
  3. Alat menyembelih
  4. Bahagian / tempat disembelih

SYARAT MENYEMBELIH

Syarat Orang Yang Menyembelih

  1.  Niat
  2. Orang Islam @ Ahli Kitab
  3.  Berakal  ( Bukan gila atau mabuk atau budak belum mumayiz )
  4. Orang yang soleh tetapi sembelihan orang fasik adalah makruh
  5. Orang yang suci dari hadath tetapi sembelihannya sah
  6. Orang celik penglihatannya tetapi sembelihannya sah
  7. Menyembelih sekali sembelihan sahaja tetapi diharuskan dengan cara menggergaji.
  8. Memotong saluran penafasan (urat halkum / trakea) dan
  9. Saluran makanan(urat mari’/esofagus) dan kedua-dua arteri karotid dan vena jugular putus. 
  10. Penyembelih telah membuat persediaan sempurna sebelum menyembelih.


Syarat Binatang Sembelihan - (Binatang yang dihalalkan tetapi bukan )

  1. Binatang najis mughalazah (babi dan anjing)
  2. Binatang bertaring dan mengunakan kuku untuk membunuh (harimau,singa,beruang)
  3. Binatang dua alam (katak, buaya) Binatang yang membawa penyakit dan merbahaya
  4. Binatang yang dipandang jijik oleh umum (contoh: tikus)
  5. Binatang yang dihalalkan tetapi kacukan  daripada binatang yang diharamkan (contoh: lembu dikacukkan dengan babi)
  6. Bukan binatang yang mendatangkan mudarat penyakit / residue kepada orang yang memakannya   (contoh: ayam yang  dijangkiti selsema  burung)
  7. Binatang yang masih ada hayat mustaqirrah ( Bergerak dengan kuat selepas sembelih dan darah memancut secara berterusan hingga mati)

JENIS SEMBELIHAN

  • Binatang yang mampu dikuasai

-Binatang yang tidak menimbulkan kesukaran untuk disembelih pada bahagian leher samada binatang jinak atau liar

  • Binatang yang tidak mampu dikuasai

-Binatang yang tidak dapat ditangkap untuk disembelih atau binatang yang mampu dikuasai tetapi sukar untuk disembelih pada leher dalam keadaan dharurat.



Sembelihan keatas haiwan yang mampu dikuasai. Ianya terbahagi 2

1) Al-Zabhu. Iaitu menyembelih / memutuskan halkum yang berada di bahagian atas leher berdekatan kepala

Kaedah ini adalah bagi haiwan yang jinak dan yang mudah disembelih. Antara contoh haiwan yang disembelih menggunakan cara ini ialah lembu, kambing, ayam dan lain-lain.







2) Al-Nahru. Iaitu menyembelih / memutuskan halkum yang berada di bahagian penghujung / pangkal  leher

Kaedah ini adalah sunat digunakan untuk menyembelih unta .Ini kerana unta mempunyai leher yang sangat panjang. Cara ini dilakukan pada kawasan yang paling kurang ketumpatan otot sekaligus memudahkan kerja penyembelihan


Sembelihan Mengikut Mazhab Syafi'e dan Hambali

Di dalam Mazhab Syafi’e dan Hambali hanya diwajibkan untuk memutuskan dua jenis urat sahaja iaitu

  1. ·         Urat Halkum (trakea)
  2. ·         Urat Mari’ (esofagus)

Namun sunat hukumnya memutuskan 2 urat (salur) darah (arteri karotid dan vena jugular) yang berada di kanan dan kiri leher binatang yang disembelih bagi mempercepatkan kematian.

Maksud al-Zakah ialah penyembelihan binatang yang mampu dikuasai dan harus dimakan dengan memutus halkum dan urat mari’. Tempatnya ialah di bahagian atas leher (al-halq) ataupun di bahagian bawah leher dan dinamakan al-Nahar, ataupun tikaman yang mematikan binatang di mana-mana bahagian tubuhnya, sewaktu tidak boleh disembelih

Sembelihan Mengikut Mazhab Hanafi dan Maliki

Ulama Hanafi dan Maliki memberi takrif sebagai memutuskan saluran urat. Urat-urat yang perlu diputuskan adalah sebanyak 4 urat iaitu

  1. Urat Halkum (trakea)
  2. Urat Mari’ (esofagus)
  3. 2 urat darah kiri dan kanan halkum (arteri karotid dan vena jugular)

Tempat dilakukan penyembelihan ialah di antara pangkal leher dan pangkal dagu

Maksud al-Nahar ialah memotong urat darah. Tempat bagi melakukannya pula ialah penghujung leher. Penyembelihan yang dibuat dalam keadaan darurat pula ialah memotong dan melakukan mana-mana sahaja bahagian tubuhnya.

Kesimpulan yang disepakati oleh semua mazhab ialah sembelihan adalah cara zabh, nahr atau aqr terhadap binatang-binatang yang halal dimakan

Syarat Bahagian / Tempat Yang Disembelih

  1.       Putusnya urat halqum dan urat mari' dengan sebab penyembelihan .
  2.       Sembelihan dilakukan dengan sekali potongan sahaja.
  3.       Sembelihan dilakukan kerana Allah SWT.

Bagi tujuan sembelihan yang sempurna maka sudah seharusnya petugas atau penyembelih memahami struktur tubuh haiwan yang akan disembelih. Pada haiwan ruminan dan unggas bahagian tubuh yang perlu diperhatikan saat menyembelih adalah situasi anatomi bahagian leher dan posisi kedudukan organ dalaman

 Gambarajah Kedudukan URAT HALKUM (salur makan) URAT MARI' (salur nafas)


Struktur yang dipotong???

  1. Trakea (halqum) salur  pernafasan
  2. Esofagus (mari‟) – salur makanan
  3. Arteri karotid salur darah (bekalan darah beroksigen) dari jantung ke otak (Tekanan Tinggi) 
  4. Vena jugular salur darah (tanpa oksigen atau bawa darah Karbondioksida) dari otak ke jantung (Tekanan Rendah)





Tempoh pendarahan (bleeding time)

Tempoh "Proses Bleeding" Pendarahan selama 5-6 minit  

  • Bagi sembelihan lembu betina anggaran waktu 6 minit 
  • Bagi  sembelihan lembu jantan anggaran waktu 5 minit. 

“Bleeding” akan mengeluarkan 50% hingga 60% darah. Jumlah darah selebihnya pula akan keluar semasa proses eviserasi, manakala 3% hingga 5% akan kekal di dalam otot.

Seterusnya Pemeriksaan bagi mengesahkan kematian ternakan perlu dilakukan.


A) Gambarajah Bahagian Sembelihan Ayam


Semasa sembelihan : Lihat pada bahagian yang putus

  • Ayam memiliki leher yang cukup panjang yang terdiri dari beberapa buah ruas tulang  berjumlah 13 atau 14 ruas. Cara menghitung tulang leher dimulai pada tulang leher yang bertaut dari tengkorak hingga ruas yang berbatasan dengan tulang punggung bahagian dada (os vertebrae thorachales).
  • Tulang leher pertama dan tulang leher yang kedua berguna untuk menggerakkan tengkorak atau tulang kepala ayam. Tulang leher ini satu sama lain saling bertautan dan dapat berputar sehingga leher dan kepala ayam dapat bebas untuk melakukan aktiviti seperti makan, membersihkan bulu, bersuara atau tujuan lainnya.
  • Pada bahagian bawah tulang leher ayam terdapat suatu canal (cervical carotid canal/subvertebral canal/ hemmal canal) yang mengelilingi pembuluh darah sehingga berfungsi untuk  melindungi pembuluh darah di leher ayam yang panjang. ( Pembuluh darah ini berhubung di sepanjang saluran ini bermula dari hemmal canal pada tulang leher ke empat kemudian berpisah sempurna pada tulang leher ketiga dan berjalan menuju ke sisi kiri dan kanan leher)
  • Ayam yang sudah disembelih tetapi masih boleh berjalan-jalan? Sebabnya ialah proses penyembelihan yang tidak sempurna kerana  saat saluran makan dan saluran nafas sudah terpotong namun pembuluh darah yang berada di dalam tulang leher belum terpotong, sehingga ayam tersebut belum mati.  Penyembelihan ayam dilakukan terlalu ke bawah melebihi tulang leher ke 4
  • Penyembelihan ayam yang ideal dan baik seharusnya dilakukan diantara tulang leher ke-2 dan ke-3.
  • Jika penyembelihan ayam yang terlalu ke atas juga tidak sempurna kerana hanya akan memotong pangkal lidah dan pembuluh darah carotis sudah berada di sisi samping leher. Dengan demikian, sangat berisiko untuk tidak terpotongnya saluran makanan dan nafas serta kemungkinan ada pembuluh darah yang tidak terpotong.
  • Ayam dapat disembelih dalam posisi tergantung (kepala di bahagian bawah) Kerana di dalam tubuh ayam tidak terdapat diafragma sehingga organ di ruang perut dapat dengan bebas masuk ke rongga dada.

Posisi Penyembelih semasa proses menyembelih ayam yang disarankan adalah :

  1. Untuk memotong ayam secara manual, pemotongan ayam sebaiknya dilakukan oleh dua orang, dimana satu orang bertugas memegang ayam dengan cara dibalik (kepala dibawah) dan satu orang bertugas menyembelih.
  2. Jika juru sembelih hanya sendiri menggunakan corong (killing/ slaughter cone) tangan juru sembelih dipergunakan untuk menahan/memegang kepala dan menyembelih. Killing cone ialah alat berbentuk corong yang boleh digunakan untuk membantu proses menyembelih ayam dengan cara yang lebih mudah dan lebih praktis. Kepala ayam dimasukkan ke dalam corong dengan posisi dada menghadap juru sembelih.  

Loji / Kilang Penyembelihan Ayam

Bagi kilang penyembelih ayam proses penyembelihan perlu mengikut hukum syara’ yang telah ditetapkan. 

Bilangan penyembelih bergantung kepada jumlah ayam yang disembelih. Manual Prosedur Halal Malaysia menetapkan seseorang penyembelih tidak boleh menyembelih ayam melebih 2000 ekor dalam masa satu jam.

‘shower’ adalah bertujuan untuk membasuh pisau setiap kali sembelihan.

Tempoh pendarahan (bleeding time)

Proses pengeluaran darah dari badan ayam hendaklah sempurna.

Tempoh lebih dari 3 minit – proses pendarahan yang lengkap.

Ayam disiram dengan air untuk menghilangkan kesan darah dan najis pada bahagian luar sebelum memasuki proses penceluran.

Seorang halal ‘checker’ ditempatkan di akhir proses pendarahan untuk memastikan hanya ayam yang telah mati dan sempurna sembelihan sahaja melalui proses seterusnya iaitu penceluran air panas







B) Gambarajah Bahagian Sembelihan Lembu, Kerbau, Kambing dan Bebiri

Bagi Haiwan Ruminan, Pembuluh darah darah carotisnya berjalan di permukaan leher.

Haiwan Ruminan perlu disembelih dengan cara direbahkan pada posisi sebelah kiri haiwan haiwan tersebut tidak boleh di sembelih secara gantung kerana isi rongga perut akan menekan diafragma haiwan tersebut


Semasa sembelihan : Lihat pada bahagian yang putus





Syarat Alat Menyembelih

- Alat seperti pisau, parang, pedang, kapak, anak panah dan tombak yang diperbuat daripada besi, tembaga, timah, perak, emas, kaca, batu, kayu, dan buluh.

       Alat hendaklah bersih dari lumuran darah.

       Menggunakan kejutan (stunning) mengikut kaedah dan jenis yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Pengesahan Halal di negara berkenaan.




Ukuran panjang pisau disesuaikan dengan jenis haiwan sembelihan (1,5-2 kali lebar leher)



SUNAT DALAM SEMBELIHAN

  1. Melafazkan tazmiyyah iaitu BISMILLAH (بسم الله )  atau BISMILLAH ALLAHU AKBAR (بسم الله اللّٰه أكبر)
  2. Membaca SELAWAT ke atas Nabi s.a.w ALLAHUMMA SOLLI ALA MUHAMMAD           ( اللهم صل على سيدنا محمد )
  3. Menyembelih pada waktu siang
  4. Mengasah pisau sebelum membaringkan binatang sembelihan
  5. Penyembelih dan binatang sembelihan mengadap ke arah kiblat
  6. Membaringkan binatang di atas rusuk kirinya dan kepalanya diangkat sedikit (Jika si penyembelih menggunakan tangan kiri (kidal) di dalam menyembelih, maka ternakan lembu atau kambing tersebut dibaringkan di atas sisi kanannya dengan tetap menghadap kiblat, dan disunnahkan meletakkan satu kaki penyembelih disisi leher haiwan yang akan disembelih.
  7. Memutuskan kesemua urat darah dengan sempurna


Perkara yang perlu dilakukan oleh Juru Sembelih
  1. Baringkan ternakan di atas rusuk kirinya menghadap ke arah kiblat 
  2. Kepala ternakan di selatan dan semua kaki di barat.
  3. Kepala ternakan di angkat sedikit.  
  4. Juru sembelih berada di sebelah timur kepala haiwan. 
  5. Sebelah kaki kanan Juru Sembelih berada disisi leher ternakan tersebut. 
  6. Bila ternakan bertanduk panjang melingkar, pastikan agar posisi tanduk tidak mengganggu proses penyembelihan. 


Bagi haiwan yang berleher tebal atau kulitnya menggelambir, pembantu perlu untuk menarik, atau menggulungkannya agar leher haiwan berada dalam keadaan tegang dan memudahkan penyembelihan.

MAKRUH DALAM SEMBELIHAN

       Mengasah pisau di hadapan binatang yang akan disembelih

       Menyeret binatang ke tempat sembelihan hingga meyakiti binatang yang hendak disembelih.

       Menyembelih di hadapan binatang yang lain

       Menyembelih dari belakang tengkuk

       Memotong leher hingga sampai ke saraf tunjang

       Memutuskan kepala binatang

       Mematahkan leher binatang

       Memegang binatang sembelihan sampai mati

       Mencampakkan binatang yang telah disembelih

       Melapah atau memotong binatang sebelum sejuk

ISU-ISU PROSES PENYEMBELIHAN

       Sembelihan ketika pendarahan

       Mencelur sembelihan yang masih bernyawa

       Air celuran yang tidak bertukar

       Mencampurkan sembelihan halal dengan tidak halal dalam satu bekas air celuran

       Mencelur sembelihan terlalu lama

       Meletakkan sembelihan di atas lantai

       Karkas berlumuran dengan najis di atas lantai

       Menyimpan sembelihan halal dengan tidak
halal dalam satu tempat

       Mengangkut sembelihan halal dengan tidak
halal mengunakan satu kenderaan

       Tempat memproses tidak dibersihkan secara berjadual

Hayat Mustaqirrah ( حياة مستقرة )

Sekiranya didapati sembelihan yang dilakukan tidak memutuskan mana-mana bahagian halqum dan marih dengan sempurna sedangkan haiwan tersebut masih lagi ada HAYAT MUSTAQIRRAHnya, maka dengan segera hendaklah diulangi sembelihan itu jika :

Sebagai contoh, sekiranya seekor haiwan seperti lembu, dilanggar oleh sebuah kenderaan, semasa penyembelihan dibuat hendaklah dipastikan haiwan itu disembelih ketika ia masih ada hayat mustaqirrah. Dan tanda-tandanya adalah semasa disembelih, haiwan itu darahnya terpancar (memancut) dan ia mempunyai gerak yang kuat seperti adanya rontaan. Sekiranya apabila disembelih, haiwan tersebut tidak mempunyai gerak yang kuat atau darahnya tidak memancar, maka ketika itu sembelihan tidak lagi memberi kesan dan daging haiwan tersebut tidak halal dimakan, kerana sembelihan tadi sebenarnya berlaku pada ketika haiwan telah sampai kepada hayat mazbuh (telah tiada nyawa dan menjadi bangkai). Sekiranya didapati hayat mustaqirrah semasa melakukan sembelihan tadi, maka halallah dagingnya

a. Diangkat atau terangkat pisau dan dikembalikan semula dengan segera kerana ia menyangka urat keduanya telah putus.

b. Menukar pisau yang tumpul atau diganti dengan pisau yang tajam.

c. Pisau lucut atau terlepas dan gugur dari genggaman tangan dengan diambil semula pisau tersebut atau diganti dengan pisau yang lain.

d. Dipalingkan mata pisau yang tumpul kepada mata yang tajam.

HALAL sembelihan yang diulangi penyembelihan dari masala-masalah seperti diatas dengan syarat ada HAYAT MUSTAQIRRAH pada akhir ulangan sembelihan tersebut walaupun ia diulangi berkali-kali sembelihan dengan tidak panjang atau terlalu lama tempoh perceraian masa gerakan ulangan itu.

Ia tetap dikira sebagai sekali sembelihan jua. Sekiranya yang tertinggal atau yang tidak putus itu hanya sekadar halus kulit bawang dan tidak perlu kepada ulangan sembelihan.

MAKSUD DAN TANDA-TANDA HAYAT MUSTAQIRRAH
Hayat Mustaqirrah ialah haiwan tersebut masih kuat bertenaga samada selepas disembelih, dilanggar kenderaan atau dibaham oleh binatang buas dengan keadaan fizikalnya nyata kuat dengan pergerakkanya bertenaga serta darahnya masih lagi memancut dan mengalir dengan kuat.

Tandanya boleh dilihat dengan :

i. Pancutan atau aliran darahnya masih kuat memancut dan mengalir atau

ii. Pergerakan fizikal atau haiwan itu masih lagi kuat menggelepar dan bertenaga..

Hayat Mazbuh ( حياة مذبوح )

1. Harakat Mazbuh ialah menafikan sifat-sifat dan syarat-syarat pada Hayat Mustaqirrah serta haiwan itu sudah kelihatan lemah dan seolah-olah sudah mati namun masih lagi kedengaran dengusannya.

2. Jika haiwan yang berada dalam keadaan Harakat Mazbuh ini dengan sebab sakit, keletihan atau dalam keadaan kelaparan HALAL dimakan walaupun tidak kuat pancutan darahnya atau darahnya yang mengalir lesu dan tidak bermaya serta tidak bertenaga ketika ia disembelih.

3. Bagi haiwan yang dicederakan atau dibaham oleh binatang buas atau haiwan yang dilanggar / terlanggar oleh kenderaan atau haiwan yang termakan makanan yang beracun yang memudaratkan haiwan tersebut ia disyaratkan ada Hayat Mustaqirrah ketika mula hendak menyembelih haiwan-haiwan yang berada dalam keadaan diatas. Pastikan haiwan itu mati dengan sebab sembelihan dan bukan kerana yang lain.

Bagi memastikan haiwan yang disembelih itu matinya kerana sembelihan sila pastikan seperti :

1. Selepas haiwan itu disembelih ia masih lagi menggelupur / menggelepar .

2. Darahnya nyata mengalir dan memancut.

3. Matinya tidak terlalu cepat selepas ia disembelih. Bagi haiwan ternakan seperti lembu kerbau kambing dan lain-lain tempoh kematianya selepas disembelih memakan masa sekitar 3 – 5 minit dan keatas dan bagi ayam pula melebihi 1 minit.

4. Bagi haiwan yang terlalu lama tempoh kematianya selepas disembelih iaitu melebihi kadar normal diatas mungkin disebabkan oleh dua perkara iaitu

i. Jarak luka sembelihan dengan badannya atau

ii. Ada urat yang tidak putus

5. Bagi ayam atau burung atau haiwan lain apabila selepas disembelih ia terbang atau hilang dan apabila ia dijumpai ia sudah mati maka matinya itu meragukan serta HARAM dimakan dagingnya kerana dibimbangi ia mati bukan serana sembelihan tadi tetapi matinya kerana yang lain seperti tersandung dan patah lehernya dll.

Adab Semasa Menyembelih Ternakan

Menyembelih ternakan mempunyai adab yang sepatutnya di ambil perhatian :

1. Berilah makan dan minum kepada haiwan tersebut sebelum proses penyembelihan. Kebiasaanya, haiwan akan dihantar oleh pengembala sehari atau dua hari sebelum hari penyembelihan.

2.Menghadap ke arah kiblat ketika menyembelih.

3.Berlaku ihsan kepada haiwan yang hendak disembelih, iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam dan dilakukan dengan kuat dan cepat. Sebahagian ulama mengharamkan penggunaan pisau yang tumpul. Bagi tujuan sembelih binatang, ia perlu dilakukan dengan menggunakan pisau yang tajam. Ini supaya tidak berlaku penyeksaan kepada haiwan itu

4. Tidak mengasah pisau di hadapan haiwan yang akan disembelih, juga tidak menyembelih di hadapan haiwan lain yang menunggu giliran seterusnya. Kita juga tidak boleh mengasah pisau di depan haiwan tersebut. Ini untuk mengelakkan mereka takut sebelum disembelih

5. Tidak berlaku kasar sewaktu ingin membawa  dan menumbangkan haiwan ke tempat sembelih supaya haiwan tidak berasa takut dan tertekan.

6. Menyebut nama Allah ketika menyembelih dan memilih cara penyembelihan yang paling mudah dan paling kurang menimbulkan rasa sakit

7. Memastikan terputusnya halkum (saluran pernafasan) dan urat marikh. Buka atau melepaskan secepatnya ikatan tali yang mengikat pada haiwan tersebut sejurus selepas sembelih

8. Perhatikan apakah masih terdapat 3 reflek iaitu pada mata, ekor, dan kaki

Tidak melakukan sesuatu yang menyakitkan haiwan yang sudah disembelih sebelum haiwan tersebut benar-benar mati. Seperti memotong mana-mana anggota haiwan atau melapah kulit tersebut sebelum haiwan benar-benar mati.

8.  Gantung ternak yang telah mati pada kedua kaki belakangnya. Supaya proses pendarahan cepat keluar

9. Jangan sesekali kita tularkan video atau gambar berkaitan penyembelihan korban yang boleh menimbulkan fitnah terhadap agama Islam

CONTOH KESALAHAN SEMASA SEMBELIHAN DI LAKUKAN...



Pemeriksaan Kematian Haiwan

1. Proses kematian haiwan selepas disembelih kebiasaannya adalah diantara 7-10 minit  - darah dipastikan  keluar sehingga tidak memancut lagi (tidak lagi deras dan tidak berdenyut lagi / tiada dengusan nafas)

2.Selama darah memancut tidak boleh ada perlakuan apapun ( memisahkan kepala, kaki atau menyiram dengan air)

3. Tiada tindakan reflek / pergerakan pada kaki  dan ekor


4. Kematian haiwan dipastikan dengan menguji hilangnya reflek kornea caranya adalah

  • Dekatkan jari ke depan mata haiwan yang disembelih
  • Reflek mata dinyatakan hilang jika mata tidak berkelip

Tanda-tanda ternakan telah mati:

     Tiada tindakbalas pada mata (Ketiadaan tindakbalas pada kornea boleh diperiksa dengan menyentuh lembut pada sudut mata)

     Lidah menjadi ‘flaccid’

     Telinga jatuh ke bawah

     Badan tidak bengkok atau tegang

     Tiada suara

     Tiada pernafasan

     Tiada denyutan jantung/nadi

HUKUM PENGGUNAAN STUNNING


KEPUTUSAN FATWA KEBANGSAAN Bersidang pada 13 Mac 2006 dan memutuskan bahawa “Penggunaan Pneumatic Percussive Stunning dalam penyembelihan lembu dan binatang halal seumpamanya adalah dibenarkan dengan syarat tengkorak haiwan sembelihan yang dikenakan stunning dalam keadaan tidak retak tengkorak dan matinya adalah kerana sembelihan.




Prosedur tambahan yang digunakan selepas sembelihan adalah dibenarkan dan daging haiwan tersebut adalah halal tertakluk kepada syarat-sarat berikut:

 (i) Telah berlaku sembelihan yang sempurna (iaitu telah putus keempat-empat urat Mari', haklum dan wadajain);

 (ii) Kaedah tersebut dijalankan selepas berlaku pendarahan sempurna(complete bleding) atau selepas 30 saat penyembelihan berlaku;

(iii) Binatang tersebut disahkan mati akibat sembelihan dan kaedah Thacis Stiking hanya sekadar membantu mempercepatkan kematian; dan

 (iv) Kaedah ini perlu dikawalselia oleh petugas muslim yang bertauliah

Tak halal ?
Sebagai pengguna islam silalah berhati-hati jika hendak membeli ayam samaada di pasar atau hypermarket.. sila lihat dan perhatikan betul-betul sembelihan tersebut... dibawah ini kita dapat perhatikan sembelihan tidak halal... berwaspadalah selalu....

Hadith bermaksud,.

Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat (tidak terang halal atau haramnya) yang tiada diketahui oleh orang ramai.



SIJIL TAULIAH PENYEMBELIHAN HALAL

Penyembelih @ tukang sembelih adalah pasukan hadapan dalam industri halal bagi kategori pensijilan 'Rumah Sembelih' kerana melalui tukang sembelih ini, status kehalalan daging serta serba serbi yang terhasil daripadanya terletak pada mereka.

Menjawat amanah sebagai "tukang sembelih" di pusat atau rumah sembelihan merupakan satu tugas yang sangat teknikal dan berisiko. Kemahiran, kepakaran, pengalaman dan ilmu adalah ramuan penting bagi seorang penyembelih. Pensijilan halal Jakim selama ini amat menitik beratkan soal penyembelih ini, bukan semata-mata hasil sembelihan yang dilihat aspek kebajikan penyembelih juga sangat diberi perhatian..

Justeru, antara salah satu syarat utama untuk menjadi tukang sembelih di Rumah Sembelih yang diperakukan halal oleh Jakim, tukang sembelih ini WAJIB mempunyai tauliah penyembelihan daripada Jab. Agama Islam Negeri di negeri mereka bertugas

HUKUM SEMBELIHAN WANITA

Harus hukumnya orang perempuan menyembelih haiwan dan sah sembelihannya seperti mana kaum lelaki. Jika binatang tersebut disembelih oleh wanita maka sembelihan itu tetap sah dan boleh dimakan. Juga sama ada dalam keadaan suci atau tidak. Ini kerana, lelaki atau perempuan bukan syarat utama bagi penyembelih. Yang paling utama adalah penyembelih mestilah seorang muslim. Di dalam satu hadis riwayat Ka’ab Bin Malik, beliau menceritakan :

أَنَّ امْرَأَةً ذَبَحَتْ شَاةً بِحَجَرٍ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ فَأَمَرَ بِأَكْلِهَا

Maksudnya :”Seorang wanita menyembelih seekor kambing. Kemudian ditanya kepada Rasulullah SAW tentang sembelihan tersebut. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan untuk makan sembelihan yang dilakukan wanita tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5504)

Cuma sebahagian ulama mengatakan bahawa sembelihan lelaki lebih afdal daripada wanita. Perkara ini dilihat dari sudut kekuatan dan kemampuan menyembelih binatang.


Video Tip Penyembelihan Patuh Syariah









Wallahu Ta’ala A’lam

No comments:

Post a Comment