Saturday, August 19, 2023

TEKNOLOGI STUNNING DALAM PENYEMBELIHAN


TEKNOLOGI STUNNING DALAM PENYEMBELIHAN

Stunning ialah kaedah memengsankan haiwan terlebih dahulu sebelum disembelih supaya haiwan tersebut tidak merasa sakit ketika penyembelihan dilakukan. Penggunaan stunning telah digunakan dengan meluasnya oleh negara-negara barat terutamanya pengeluar utama daging seperti di New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Animal Welfare Council mendakwa bahawa tujuan utama penggunaan stunning ini digunakan secara meluas adalah kerana penggunaan stunning dapat menenangkan haiwan dan akan memudahkan kerja-kerja penyembelihan.

Undang-undang Kesatuan Eropah semasa menyatakan bahawa semua haiwan yang diternak untuk proses pengeluaran makanan mesti melalui proses stunning (kejutan menggunakan elektrik, gas, atau pistol setrum) sebelum dibunuh atau disembelih.

Disebabkan peningkatan terhadap sembelihan haiwan ternakan , pelbagai jenis kemudahan teknologi telah diperkenalkan. Antara yang paling meluas digunakan adalah teknologi stunning dalam penyembelihan. Kaedah stunning adalah satu kaedah yang membantu proses penyembelihan haiwan ternakan menjadi lebih mudah jika dalam kuantiti yang banyak.

Boleh dikatakan kesemua Jabatan Mufti Negeri-negeri di Malaysia menyandarkan hukum penyembelihan haiwan secara stunning kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia.


Kaedah penetapan pengeluaran hukum (istinbath hukum) bersumber dari hadith Rasulullah SAW
 yang diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus, Rasulullah SAW bersabda:


إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan agar berbuat baik terhadap segala sesuatu. Jika kalian hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang terbaik. Jika kalian hendak menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kalian menajamkan pisaunya dan mengistirahatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Proses penetapan hukum (istinbath hukum) tentang kaedah stunning ini juga mengambil kira pandangan ulama’ kontemporari yang tersohor iaitu Sheikh Wahabah az-Zuhaily mengenai tata cara penyembelihan dengan alat-alat modern menyatakan bahawa tidak ada halangan untuk menggunakan apa jua kaedah melemahkan pergerakan haiwan dengan cara tanpa penyiksaan terhadapnya (untuk
penyembelihan haiwan).

Untuk itu, dalam Islam diperbolehkan menggunakan cara pemengsanan modern (stunning) yang tidak mematikan sebelum penyembelihan
(Wahbah al-Zuhayli, 1986).

Mengapa Stunning dibenarkan ??? 

Ianya dibenarkan kerana beberapa sebab:

  1. Kaedah stunning dapat memudah dan mempercepatkan proses penyembelihan. 
  2. Ia juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan dan pengeluaran daging halal dalam pasaran.
  3. Kaedah ini dapat meminimakan kecederaan ke atas haiwan, sekaligus meningkatkan mutu daging yang disembelih.
  4. Mengelakkan haiwan daripada diseksa atau dipengsankan dengan cara yang lebih berat selain stunning.

Jadi cara stunning diperbolehkan hukum asal pada saat pemengsanan tidak menyebabkan kematian diperbolehkan iaitu selama proses penyembelihan tidak menyiksa haiwan yang disembelih. Proses penyembelihan haiwan perlu dilakukan sesuai dengan syariat dan juga sesuai dengan konsep halalan toyyiban,Jangan sampai apa yang kita sembelih menjadi haram ( mati sebelum haiwan tersebut di sembelih)

Syarat stunning

  1. Penyembelih yang profesional dari kalangan Muslim agar dapat menghilangkan sebarang bentuk keraguan. 
  2. Alat Staning bukan dikendali oleh orang bukan Islam. Ia mestilah dikendali oleh petugas Muslim atau badan yang mendapat pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).
  3. Memenuhi syarat-syarat sah sembelihan
  4. Mempunyai hayat mustaqirrah
  5. Pengsan apabila melalui proses stunning dan sedar semula jika tidak disembelih
  6. Terdapat petugas Muslim (halal  checker)  mengawalnya semasa penyembelihan
  7. Penggunaan stunning hendaklah dikawal selia oleh Badan Pengiktirafan Halal
  8. Haiwan yang dikenakan stunning hanya mengalami mengalami kejutan sementara dan tidak mati atau kecederaan kekal
  9. Peralatan stunning untuk binatang tidak halal tidak boleh digunakan untuk binatang halal

Antara haiwan yang biasa melalui proses stunning ialah lembu, kambing, dan ayam. Terdapat pelbagai jenis kaedah stunning yang diperkenalkan antaranya ialah

  1. Kejutan elektrik,
  2. Water Stunner 
  3. Thoracic sticking 
  4. Stunning mekanikal (Captive Bolt )

KAEDAH STUNNING: KEJUTAN ELETRIK (Electrical Shock)

Kejutan elektrik  (Electrical Shock) di kepala sahaja digunakan untuk memengsankan lembu, kambing dan biri-biri. Kaedahnya ialah dengan meletakkan sepasang penyepit di kedua-dua belah kepala haiwan dan mengalirkan aliran elektrik ke otak. 

Aliran elektrik dialirkan dengan kadar yang sesuai dan tempoh masa yang sesuai mengikut jenis haiwan, saiz dan jantina. Ini adalah begi mengelakkan aliran elektrik mengalir ke seluruh badan yang akan menyebabkan jantung berhenti dan boleh membawa kepada kematian haiwan tersebut.

Kajian yang dilakukan bersama antara Muslim World League dan WHO pada 1986 mendapati bahawa pelaksanaan electrical stunning head sahaja yang tidak menyebabkan kematian haiwan. Sekiranya tidak disembelih, ia akan sedar sepenuhnya.

Kejutan elektrik  adalah satu kaedah yang menggunakan arus elektrik perlahan kepada haiwan sebelum di sembelih. Kaedah ini akan menyebabkan haiwan yang terkena kejutan elektrik ini menjadi lali dan pengsan seketika. Kadar arus elektrik adalah sentiasa dalam kawalan dan peratusan yang telah di tetapkan.



Pada 24 November 1988, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-22 bersidang untuk membincangkan mengenai isu lembu yang di sembelih melalui proses penggunaan Electrical Stunning. Keputusan daripada Muzakarah ini telah memutuskan hukuman harus terhadap penggunaan Electrical Stunning dalam Penyembelihan Lembu (e-Fatwa, 2015).

Kaedah Kejutan Elektrik (Electrical Shock Stunning) dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Jenis kejutan stunner yang digunakan adalah di kepala sahaja (head only stunner) Arus elektrik dialirkan atas kepala haiwan bagi kambing dan biri-biri manakala di bahagian hidung bagi lembu.
  • Volume arus elektrik hendaklah sentiasa dalam kawalan, iaitu tidak boleh melebihi had antara 0.75 ampere untuk kambing, 2.0 ampere untuk lembu;
  • Aliran elektrik hendaklah dilaksanakan dalam tempoh masa antara tiga hingga enam saat; dan
  • Proses kaedah kejutan elektrik ini hendaklah dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.

Bagi ternakan ayam dan itik kaedah Waterbath Stunning (poultry) itik adalah diharuskan dengan syarat:

  • Hendaklah dipastikan ternakan ayam dan itik tidak mati melalui kawalan arus Elektrik
  • Proses kaedah kejutan elektrik ini hendaklah dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.

KAEDAH STUNNING: WATER STUNNER

Sejenis alat elektrik yang menggunakan medium air untuk kejutan haiwan sebelum disembelih. Kaedah ini digunakan untuk haiwan beburung seperti ayam, itik dan angsa. Haiwan akan digantung kaki ke atas pada besi yang bergerak ke satu takungan air yang mempunyai aliran elektrik. Juruteknik yang bertauliah akan mengawal kekuatan arus elektrik bagi memastikan aliran tidak terlalu tinggi.


Kaedah ini menggunakan air untuk membantu proses penyembelihan. Air berfungsi untuk melemahkan kondisi binatang sebelum ia melalui proses sembelihan. Antara contoh binatang yang biasa melalui proses ini ialah ayam.

Water stunning ini digunakan untuk menenangkan dan mengurangkan tekanan Ketika sembelihan. Ayam berada dalam water stunner berarus eletrik 0.25- 0.50 A selama 3-5 saat. Selepas proses stunner seorang halal ‘ checker’ diletakkan untuk memastikan hanya ayam yang hidup Sahaja yang disembelih.

Pada 24 November 1988, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-22 telah berdiskusi mengenai isu penyembelihan ayam dengan pelalian Water Stunner. Keputusan daripada diskusi ini telah bersetuju bahawa adalah harus menggunakan 'Water Stunner' dalam proses penyembelihan ayam (e-Fatwa, 2015).

KAEDAH STUNNING: THORACIC STIKING 

Kaedah thoracic sticking yang merupakan prosedur tambahan selepas penyembelihan lengkap dilakukan.

Praktikalnya, bagi haiwan besar seperti lembu yang telah disembelih, teknik ini dilakukan dengan memotong urat utama sekitar jantung dengan menggunakan pisau, bertujuan mempercepat aliran darah dengan memutuskan brachiocephalic  trunk atau Common carotid trunk dan tidak bertujuan untuk menikam jantung haiwan. Berasaskan hal ini, fatwa juga telah memutuskan thoracic sticking dibenarkan selagi memenuhi panduan yang digariskan.



Jika kaedah thoracic sticking ini dilakukan sebelum penyembelihan tersebut berlaku dengan sempurna maka tidak di bolehkan. 

Stunning Angin (Thoracic Stiking) Pada 29 September 2005, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah berdiskusi mengenai isu kaedah thoracic stiking dalam sembelihan haiwan. Muzakarah telah memutuskan bahawa prosedur tambahan yang digunakan selepas sembelihan (kaedah thoracic stiking) adalah diharuskan.

Maka daging haiwan tersebut adalah halal di makan mengikut kepada syarat-sarat berikut:

  • Sembelihan secara sempurna telah terlaksana (putus keempat-empat urat Mari', halum dan wadajain);
  • Kaedah tersebut dijalankan selepas 30 saat penyembelihan atau setelah berlaku pendarahan sempurna (complete bleding);
  • Sembelihan adalah punca kematian kepada haiwan itu dan thoracic stiking hanyalah berfungsi sebagai alat untuk membantu mempercepatkan kematian;
  • Proses kaedah thoracic stiking ini hendaklah dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.

KAEDAH STUNNING: CAPTIVE BOLT

Captive Bolt pula terbahagi kepada 
  1. Penetrative Captive Bolt
  2. Non-Penetrative Captive Bolt (Mushroom-Head Stunner)
  3. Pneumatic Captive Bolt.

1) PNEUMATIC CAPTIVE BOLT

Bagi captive bolt yang dikenali sebagai pneumatic Captive Bolt Gun pula mempunyai ruang udara di hujungnya yang memberi tekanan udara ke dalam otak setelah tengkorak ditembusi. Udara ini memberi tekanan kepada bahagian tertentu dan menyebabkan haiwan tersebut pengsan.



Kaedah stunning mekanikal atau nama lainnya Pnematic Percussive Stunning. Ia boleh didefinisikan sebagai satu kaedah yang menggunakan alat berbentuk seperti cendawan untuk memengsankan haiwan sembelihan. Antara syarat kaedah ini diterima dalam Islam ialah memastikan alat yang digunakan tidak memecahkan tengkorak haiwan, hanya sekadar menyebabkan haiwan pengsan sahaja . Kaedah ini biasa dilakukan ke atas haiwan ternakan besar seperti lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.

Pada 13 Mac 2006, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah berdiskusi mengenai penggunaan pnematic percussive stunning menurut pandangan Islam. Keputusan muzakarah ini telah menetapkan bahawa penggunaan pneumatic percussive stunning dalam sembelihan haiwan halal adalah harus selagi mana ia memenuhi syarat (E-Fatwa, 2015):

  • Hendaklah tiada berlaku keretakan pada tengkorak haiwan sembelihan yang dikenakan stunning
  • Hendaklah haiwan yang itu mati disebabkan proses sembelihan

2) PENETRATIVE CAPTIVE BOLT

Kaedah pemengsanan haiwan menggunakan Pistol captive bolt yang mengandungi sebiji besi keluli yang tajam dihujungnya dan apabila tembakan dilakukan ia akan menembusi otak melalui impak yang sangat kuat. Tembakan biasanya dilakukan pada dahi dan menyebabkan kerosakan pada bahagian-bahagian tertentu pada otak dan menyebabkan haiwan tersebut pengsan kesan dari kerosakan itu.Jika tidak disembelih haiwan tersebut akan mati. 


Bagi lembu alat Pistol captive bolt akan diletakkan di tengah dahi manakala kambing pula  meletakkan alat Pistol captive bolt di ruangan belakang kepala kambing. 

Berasaskan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia pada bulan Mac tahun 2006  stunning jenis Petetrative Captive Bolt yang menyebabkan kematian haiwan adalah tidak dibenarkan dan jatuh hukum haram. Tidak dibenarkan memukul kepala haiwan atau menggunakan kaedah lain yang seumpamanya.


2) NON PENETRATIVE CAPTIVE BOLT (Mushroom Head Stunner)

KaedahPemengsanan haiwan Non Penetrative Captive Bolt (mushroom-head) adalah sama juga seperti  Penetrative Captive Bolt  tetapi ia menggunakan captive bolt yang berbentuk cembung. Kaedah ini mengetuk dan atau mengenakan tekanan kepada tempurung kepala tanpa menembusi tengkorak. Kejutan alat pemukul ini datang dari tembakan  atau tekanan angin yang memantulkan kepada pemukul jenis mushroom-head dan mengetuk di kepala haiwan.


Kejutan ini akan mewujudkan satu gelombang tekanan dalam rongga otak apabila ketukan berlaku dan akan menyebabkan haiwan tersebut pengsan. Walaupun kaedah ini tidak menembusi tengkorak dan tidak mencederakan otak, namun kajian yang dilakukan oleh Dr Mohamed Lutfi dari University Of Queensland, Australia di lapan buah pusat penyembelihan dalam masa 20 bulan pada tahun 2003 hingga 2004 mendapati bahawa 80% - 95% haiwan yang dikaji mengalami keretakan dan pecah tengkorak dan 5% - 20 % mengalami lekukan di tengkorak.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 29 Sept 2005 telah membincangkan Hukum Mengenai stunning Haiwan. Muzakarah telah memutuskan bahawa Kaedah Stunning jenis Penetrative Captive Bolt dan NonPenetrative Captive Bolt (Mushroom Head Gun) adalah haram dan tidak dibenarkan kerana ia boleh menyebabkan kematian haiwan. Hanya kaedah Kejutan Elektrik (Electrical Stunning) sahaja dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat seperti Stunner yang digunakan adalah jenis kejutan di kepala sahaja (head only stunner), kekuatan arus elektrik hendaklah dikawal (tidak boleh melebihi had yang ditetapkan) iaitu antara 0.75 ampere untuk kambing, 2.0 ampere untuk lembu dan tempoh masa aliran elektrik ialah antara 3-6 saat; dan perlu dikawalselia oleh petugas muslim yang bertauliah (JAKIM, 2016).


AL-MAUQUDZAH  (  الموقوذة. )  / TIDAK HALAL DIMAKAN.

Al-Mauqudzah (  الموقوذة. ) adalah  binatang yang mati kerana dipukul dengan tongkat dan sebagainya baginya tidak halal dimakan 

Allah SWT menjelaskan tentang keadaan haiwan yang diharamkan memakannya dalam firmannya 


حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيْرِ وَمَآ اُهِلَّ لِغَيْرِ اللّٰهِ بِهٖ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوْذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيْحَةُ وَمَآ اَكَلَ السَّبُعُ اِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْۗ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
Surah Al Maidah Ayat 3

Maksudnya : Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.

Kaedah stunning jenis Petetrative Captive Bolt dan Non Penetrative Captive Bolt (Mushroom Head Gun) adalah kaedah penembakan atau pemukulan pada bahagian kepala 

Dengan mengunakan alat pistol captive bolt dan peluru khusus proses penembakan ini dilakukan pada ukuran arus yang berbeza-beza sesuai dengan besar kecilnya ukuran lembu.

Kepala yang ditembak dengan peluru tumpul ini menyebabkan hentakan yang kuat boleh mencederakan  dari segi dalaman otaknya, sehingga ternak akan mengalami goyah dan pengsan

Ini kerana kaedah penetrative captive bolt biasanya akan memecahkan tengkorak haiwan dengan tusukan alat yang digunakan.

Jika sekiranya cara ini boleh menyebabkan kecederaan parah pada otak, maka sudah tentu binatang seperti ini mengalami dua kali sakit. Pertama, sakit stunning dan kedua sakit sembelihan.


Sekiranya ia mati sebelum disembelih ia dikira dalam golongan Al-Mauqudzah (  الموقوذة. )  dan tidak halal dimakan.

No comments:

Post a Comment