Halal bererti
sesuatu perkara, benda, atau perbuatan yang diizinkan dan dibolehkan oleh Allah
SWT dan istilah ‘halal’ biasanya dikaitkan dengan makanan yang dibolehkan untuk
makan menurut hukum Syara’ Islam.
Mengikut klausa 2.3 Standard Malaysia MS1500:2009 pula, makanan
halal bererti makanan dan minuman atau sumber bahan pembuatannya adalah
dibenarkan hukum Syara’ dan tertakluk kepada; selamat untuk dimakan, tidak
beracun, tidak memabukkan, atau tidak memudaratkan kesihatan.
DEFINISI HALAL:
Dalam istilah bahasa Halal bermaksud
Suatu Hukum membenarkan sesuatu perkara dilakukan (dalam Islam)
diperbolehkan, diizinkan dan dibenarkan (tidak ditegah oleh syarak)
Kata lawan Halal adalah Haram
DEFINISI HARAM :
Dalam istilah bahasa Haram bermaksud
Suatu Hukum tegahan / larangan sesuatu perkara dilakukan ( dalam Islam) yang dituntut oleh syarak agar ditinggalkan secara tegas dan berdosa bagi orang yang mengingkarinya
Manakala konsep Halalan Tayyiban pada haiwan ternakan juga adalah lebih luas dan bukan sahaja melibatkan isu sembelihan, tetapi juga aktiviti sebelum sembelihan seperti sumber pemakanan haiwan, malah pengendalian sebelum dan selepas sembelihan.
Konsep Halalan Tayyiban dalam aktiviti penyembelihan
ternakan merangkumi urusan persiapan sebelum, semasa dan selepas proses
penyembelihan supaya dapat dijalankan dengan lebih teratur, bersih dan
mengambil kira kebajikan ternakan yang disembelih dan keselamatan makanan
kepada pengguna muslim
DEFINISI HALAL THAYYIBAN
1) Dalam istilah bahasa, Halalan Thayyiban merupakan dua gabungan kata dalam bahasa Arab. Berdasarkan kamus Al-Ma'ani,
HALAL حلالا bermaksud sah menurut hukum ( yang dibolehkan )
THAYYIBAN طيبا berasal dari kata thayyib bermaksud sesuatu yang baik dan elok atau suci dan bersih atau bermutu
Jika dijamakkan kedua-duanya maksudnya "Halal Lagi Baik"
2) Dalam Istilah perlaksanaan, Halalan Thayyiban bermaksud
HALAL حلالا bermaksud
- Dibenarkan oleh syariah dan tidak haram
- Selamat,tidak mengandungi benda-benda yang najis, tidak memabukkan dan tidak mendatangkan mudharat pada kesihatan
THAYYIBAN طيبا bermaksud
Pengendalian / Praktis kebersihan / hygiene / keselamatan makanan yang merangkumi proses awal hingga akhir atau keseluruhan rantaian pembekalan ( bahan mentah, pengandalian, peralatan, penyimpanan , pengangkutan dan lain-lain)
- Peralatan - Peralatan yang digunakan untuk menyedia, memproses, mengilang dan sebagainya perlu bebas perlu bebas dari benda Haram atau najis
- Pengendalian- Pengendalian makanan samaada cara memprosesnya, amalan kebersihan, pengangkutan, penyimpanan, penghidangan atau selainya hendaklah tidak berhampiran atau bersentuhan dengan benda-benda haram
Rumusan
- Afdal jauhi makanan yang tidak baik walau pun ia halal.
- Wajib jauhi makanan yang tidak halal walau pun ia baik.
- Tidak Boleh Ada Kemudaratan dan Tidak Boleh Memudaratkan
AYAT AL QURAN YANG MENYEBUT HALAL THAYYIBAN
Dalam Al Quran, ayat yang menggunakan kalimat halalan thayyiban disebut pada 13 surah al Quran.
Tetapi dalam konteks halalan thayyiban pada makan dan minuman disebutkan secara khusus pada 4 ayat dalam 4 surah iaitu
Surah al Baqarah ayat 168
Surah al Maidah ayat 88
Surah an Nahl ayat 114
Surah al Anfal ayat 69
DEFINISI SYUBHAH
Secara istilahnya Syubhah ialah perkara yang diragukan sama ada ia
halal atau haram.
Jika mengikut kaedah syarak، Syubhah ialah perkara yang samar-samar disebabkan berlakunya
pertembungan antara dua pegangan yang timbul daripada dua bukti atau sebab. maka banyak
perkara syubhah lebih hampir kepada haram.
Hadis ke-6 dari buku hadis Arbain (hadis 40) Imam Nawawi yang
menceritakan perihala mengenai halal, haram dan syubhah.
Ulama’ Fiqah berpendapat hadis ini adalah salah satu daripada
sumber hukum Islam.
Rumah Sembelihan .
Penyembelihan haiwan ternakan di rumah sembelihan berlesen atau yang mendapat kelulusan pihak berwajib adalah lebih terjamin kebersihan dan keselamatannya.
- Tempat pemeliharaan harus bersih dan teratur. Haiwan ternakan perlu dibekalkan dengan makanan dan minuman yang bersih, mencukupi dan dihasilkan daripada sumber yang halal.
- Dalam sembelihan tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain.
- Haiwan sembelihan perlu diberikan rehat yang cukup sekurang-kurang 8 jam di Rumah Sembelih.
- Haiwan sembelihan yang dilakukan tidak boleh ada penyakit atau ada perkara-perkara yang memudaratkan haiwan tersebut kerana dibimbangi kemudaratan yang lebih besar iaitu kemudaratan kepada manusia.
- Pemeriksaan keadaan ternakan dari segi fizikal, tahap kesihatan (bebas daripada penyakit berbahaya seperti Johne’s, T.B. dan sebagainya) bagi memastikan ia tidak tercemar dengan pengambilan ubat dan hormon yang boleh memberi kesan kepada pengguna.
- Tempat penyembelihan dalam keadaan yang bersih dan selamat dan alatan sembelihan perlu dipastikan tajam.
- Haiwan ternakan yang hendak disembelih hendaklah dibersihkan daripada najis dan sebarang kotoran sebelum disembelih. Penyembelih dan mereka yang terbabit dalam proses penyembelihan juga harus sihat dan tiada sebarang penyakit berjangkit bagi mengelak pencemaran mikrobiologi.
- Karkas hendak digantung dengan ketinggian yang bersesuaian supaya ia tidak mencecah lantai,dan dilapah di tempat yang bersih.
- Karkas / daging dipotong dengan menggunakan papan pemotong daging dari material yang bersih, selamat dan kukuh serta dilakukan di atas meja dan hendaklah dimasukkan dalam bekas yang bersih.
- Daging yang dilapah perlu dipastikan bebas daripada sebarang keabnormalan dari segi warna, bau, kesan lebam dan tompokan darah.
- Kebersihan perlu dijaga kerana daging yang dicemari bakteria boleh menyebabkan penyakit kepada manusia. Di antara bakteria yang kerap kali mencemari daging adalah Escherichia coli, Salmonella, Staphylococcus aureus, Brucella abortus dan Clostridium botulinum.
- Pengendali juga disaran memakai sarung tangan, penutup kepala serta penutup pakaian
- Bersentuhan secara terus di antara tangan pekerja dengan bahan mentah hendaklah dielakkan.
- Pengendali hendaklah mengamalkan kod etika pekerja dan amalan kesihatan yang baik (Good Hygiene Practices) dan mendapatkan suntikan Typhoid
- Pengendali yang kurang sihat atau mengalami kecederaan atau luka tidak dibenarkan bekerja sehingga pulih.
• Sebelum binatang tersebut dimasukkan
ke dalam rumah sembelihan, mestilah mempunyai Sijil Kesihatan Veterinar (SKV)
yang mengesahkan bahawa ternakan itu sihat dan layak untuk dibawa masuk di
rumah sembelihan.
• Semua
ternakan yang disembelih hendaklah memiliki tanda pengenalan yang dicatatkan
dalam Sijil Kesihatan Veterinar ( Bukan
Lembu Curi & Bukan Lembu Seludup )
• Ternakan
yang hendak disembelih hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan dan dipastikan
bebas dari sebarang penyakit yang memudaratkan manusia oleh Pihak Berkuasa
Veterinar
• Ternakan harus bebas dari pengunaan Antibiotik & Pelali secara tidak terkawal kepada ternakan boleh memberi kemudaratan lebih besar kepada manusia
• Sumber makanan ternakan harus bebas dari bahan-bahan tidak halal. Makanan haiwan merupakan elemen penting dalam rantaian bekalan produk halal dan selamat untuk dimakan memandangkan ianya secara tidak langsung boleh mempengaruhi daging haiwan, mahupun segala hasilan ternakan yang di keluarkan.
Kepentingan sumber makanan haiwan yang halal sering diabaikan dan tidak dianggap sebagai salah satu aspek penting dalam memastikan kehalalan dan keselamatan sesuatu produk makanan terjamin. Berikutan sikap tidak bertanggungjawab segelintir penternak yang memberikan berbagai-bagai bahan makanan untuk mempercepatkan tumbesaran ternakan tanpa mengambil kira soal kesucian dan keselamatan.
Haiwan Jalalah.
Haiwan Jalalah adalah haiwan ternakan yang tempat tinggalnya bernajis tabiatnya suka memakan najis atau diberi makan
najis secara berkala seperti kambing yang membesar dengan susu
daripada anjing atau ternakan yang di beri makan sisa khinzir. Haiwan jalalah mempunyai
hukum tersendiri kerana anggota haiwan terbabit telah dicemari dengan najis
yang dimakannya itu.
Hukum
memakan daging haiwan berkenaan adalah makruh sejajar sabda Nabi SAW:
"Nabi Muhammad SAW melarang daripada menunggang unta jalalah (yang telah
memakan najis) dan meminum susunya." (Riwayat al-Tirmizi)
Justeru, bagi menyelesaikan permasalahan ini, mazhab Hanafi
dan sebahagian fuqaha daripada mazhab Shafi'i seperti al-Nawawi, al-Mawardi
serta al-Bujayrimi menyarankan haiwan jalalah dikurung terlebih dahulu sebelum
disembelih atau dimakan.
Tujuan haiwan itu dikurung adalah untuk memastikan supaya kesan
najis seperti bau, rasa dan warna yang terdapat padanya hilang sepenuhnya.
Secara umumnya tempoh kurungan yang disarankan terhadap kesemua haiwan jalalah
ialah 48 jam atau dua hari dua malam.
• Ternakan harus bebas penggunaan Hormon. Sekarang ini bagi menjimatkan kos, ada penternak yang sanggup memberikan haiwan tersebut dengan Hormon
Tumbesaran dan Sumber Protein Tambahan lain yang murah seperti bahan berasal
daripada bahan yang haram (khinzir) untuk meningkatkan seleranya dan tumbesarannya
dan makanan ternakan
Rumah sembelihan adalah premis untuk menyembelih haiwan. Menurut hukum Syara', penyembelihan dilakukan dengan memutuskan saluran pernafasan (halqum), saluran makanan dan kedua-dua urat darah karotid dan jugular (wadajain) bagi mempercepatkan pengaliran keluar darah dan kematian haiwan.
Kaedah penyembelihan.
Penyembelihan menurut syara' hanya sempurna jika terpenuhnya syarat berikut:
• Dilakukan oleh Muslim yang sihat akalnya, matang dan memahami asas penyembelihan.
• Binatang yang disembelih mestilah halal.
• Binatang itu hidup sebelum dan ketika disembelih.
• Waktu disembelih,binatang itu dihadapkan ke arah kiblat.
• Alat penyembelihannya harus tajam
• Sewaktu sembelihan,menyebut hanya nama Allah sahaja
• Binatang sembelihan haruslah dibersihkan terlebih dahulu daripada najis dan sebarang kotoran sebelum disembelih.
• Air yang digunakan untuk membersihkan binatang hendaklah air mutlaq,yang suci dan menyucikan.
Pemprosesan Karkas
Binatang sembelihan juga akan dilapah serta merta dan setelah daging diperolehi, ia tidak akan dibiarkan di atas lantai. Ia akan digantung dengan cangkuk yang menghubungkannya dari tempat sembelihan hingga memasuki kawasan pemprosesan sampailah keluar dari kawasan pengedaran
Penyembelihan merupakan satu-satunya cara untuk mengeluarkan darah yang bercampur dengan daging dan bahagian-bahagian lain yang terdapat pada binatang yang disembelih. Darah ialah najis dan haram memakannya
Secara umumnya, Ulama secara ijma' mengatakan darah yang mengalir ialah najis dan haram memakannya. Pengharaman ini tidak termasuk darah haiwan air seperti ikan, Juga terkecuali darah yang berada pada jantung, limpa, hati serta sumber darah yang berada dalam saraf binatang selepas disembelih selama mana ia tidak mengalir dan darah masih kekal walaupun selepas di basuh.
Namun para Ulama berselisih mengenai kadar yang di maafkan.
Penerapan Aspek Kebajikan Haiwan
Dalam hal ini, kebajikan
haiwan perlu dijaga dari peringkat sebelum sembelihan, semasa dan selepas
sembelihan dilakukan.
Perlu dipastikan, sebelum proses penyembelihan berlangsung,ternakan tersebut hendaklah dibawa masuk ke tempat sembelihan sekurang-kurangnya selama lapan jam untuk istirehat yang cukup dan mengurangkan stress bagi ternakan yang melalui tempoh perjalanan panjang untuk sampai ke Rumah Sembelih
Teknik-teknik mengekang yang betul, mengikat menggunakan tali yang sesuai dan merebah ternakan sembelihan di tempat yang sesuai serta tidak menyebabkan kecederaan kepada ternakan bagi memastikan kebajikan haiwan terjamin
Dalam Perkara Penyembelihan Ibadah Korban yang dilakukan secara tahunan, pasti timbul beberapa isu yang lazimnya berlaku tiap tahun. Di antaranya, haiwan yang ditempah dalam keadaan haiwan yang tiada penjagaan sempurna, kurus kering, haiwan yang tidak cukup umur dan tekstur daging yang tidak matang, haiwan korban mengamuk dan melarikan diri yang di sebabkan pengendalian yang tidak betul atau secara paksaan.
Di samping itu, berlaku kezaliman semasa proses merebahkan haiwan yang dilakukan
juga turut menimbulkan tekanan kepada haiwan. Ini kerana mereka yang terlibat
adalah dari kalangan yang tidak mahir, tidak berpengalaman dan hanya terlibat
setahun sekali sahaja dalam proses sembelihan. Selain itu, isu yang timbul juga
melibatkan penggunaan pisau yang tumpul dan haiwan disembelih di hadapan haiwan
korban lain.
Lantaran itu, dalam proses menyembelih
haiwan korban dan kebajikan haiwan perlu dijaga agar kita dapat mencapai objektif
ibadah yang dijalankan.
Pemeriksaan Post Morten & Ante Mortem
Semasa di rumah sembelihan pula akan dibuat pemeriksaan Ante Mortem iaitu pemeriksaan luar.
Setelah sembelihan, dibuat pemeriksaan Post Mortem bahagian organ binatang tersebut bagi menentukan organ ternakan tersebut tiada tanda-tanda penyakit dan daging tersebut selamat dimakan atau dijual
Konsep halal juga melibatkan peralatan dan perkakas yang digunakan semasa penyembelihan, pemprosesan dan menyimpan. Semua peralatan digunakan mesti bersih dan dibasuh selalu untuk memastikan kebersihan. Membasuh mesti disempurnakan dengan cara membilas dengan air bersih. Jika terdapat sebarang perkakas kotor, ia boleh mengakibatkan makanan menjadi samada meragukan (Syubhah) atau haram.
Aspek seterusnya yang perlu diberi perhatian adalah dari segi ramuan dalam bahan makanan. Sebagai contoh bahan makanan yang dicampur dengan alkohol ,minyak, bahan najis terutama lemak khinzir dan sebagainya.
Penyimpanan.
Penyimpanan sangat penting untuk mengekalkan status halal, semua makanan halal tidak boleh tersentuh atau berada dekat dengan bahan tidak halal/haram.
Kebersihan sangat ditekankan dalam Islam, dan ini termasuklah pada setiap aspek aktiviti manusia seperti pakaian, peralatan dan premis. Oleh itu permis dan stor mestilah juga bersih dan bebas dari bahan tidak halal atau bercampur / terkena najis. .
Pengurusan Sisa Sembelihan
Selepas selesai sembelihan, pastikan sisa pepejal perlu di bungkus dan dilupus dengan baik. Begitu juga sisa cecair dilupus dan diuruskan dengan baik bersesuaian dengan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT)
Selesai proses sembelihan binatang, sisa darah dialirkan
dalam longkang khas disambung terus ke dalam kolam kumbahan sisa darah.
Sisa cucian air pembersihan Dewan sembelih dan Kandang akan dialirkan
dalam longkang berasingan yang disambung terus ke dalam kolam kumbahan pengolahan
Manakala Sisa pepejal akan di kumpulkan seperti tulang dan
lemak akan dilupuskan oleh majlis bandaraya yang mana Pihak Berkuasa Tempatan akan mengambil sisa ini dan akan dilupuskan di tempat pelupusan
Keselamatan Semasa Pengendalian
Pusat Penyembelihan haruslah menerapkan kaedah keselamatan para pekerja semasa menjalankan operasi. Elakkan sebarang perkara yang boleh menyebabkan kemalangan atau apa-apa yang boleh menyebabkan kecederaan kepada pekerja.
SIJIL PENGESAHAN HALAL MALAYSIA BAGI RUMAH PENYEMBELIHAN
Rumah sembelih yang beroperasi di negara ini perlu berdaftar dan dikawal selia Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) seperti mana yang terkandung di dalam Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993.
Pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia hanya kepada
pengusaha rumah sembelihan yang mematuhi .Prosedur Pensijilan Halal Malaysia
dan MS1500:2009 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Aspek halal menjadi keutamaan dalam operasi di kebanyakan rumah sembelih
berkenaan. Hal ini termasuk daripada aspek keperluan terhadap penyembelih
bertauliah dari Jabatan Agama Islam Negeri
Antara keperluan utama ditetapkan adalah mewujudkan Sistem Halal Dalaman
dengan menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman yang dipengerusikan oleh
seorang Muslim dan Juga perlu melantik seorang Eksekutif Halal beragama Islam
warganegara tempatan dan jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memastikan
keperluan halal dipatuhi pada setiap masa.
Perkara yang diwajibkan adalah melantik pemeriksa (checker)
yang memiliki Tauliah Sembelihan yang bertanggungjawab memastikan proses
sembelih menepati syarak. Pelaksanaaan Sistem Pengurusan Jaminan Halal
diwajibkan oleh JAKIM dan perlu dipatuhi pada setiap masa di bawah pemantauan
Jawatankuasa Halal Dalaman syarikat.
Pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala atau
berdasarkan aduan mengenai rumah sembelihan yang telah disahkan halaI atau pasar terbuka dibuat bagi memastikan proses sembelihan haiwan dilaksanakan mengikut
syarak dan undang-undang yang berkuatkuasa. Pemantauan ini dilaksanakan oleh
JAKIM dengan kerjasama JAIN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), pihak berkuasa
tempatan dan agensi berkaitan
Dengan kesedaran mengeluar dan membekalkan produk karkas HALAL, umat Islam akan berupaya mewujudkan pasaran bersekutu sesama mereka yang menawarkan produk makanan dan barangan yang benar-benar bersih dan suci mengikut nilaian Islam iaitu produk makanan dan barangan HALAL.
No comments:
Post a Comment