Tuesday, August 8, 2023

PROSEDUR PENGELUARAN TAULIAH PENYEMBELIH

SIJIL TAULIAH PENYEMBELIHAN HALAL

Penyembelih @ tukang sembelih adalah pasukan hadapan dalam industri halal bagi kategori pensijilan 'Rumah Sembelih' kerana melalui tukang sembelih ini, status kehalalan daging serta serba serbi yang terhasil daripadanya terletak pada mereka.

Menjawat amanah sebagai "tukang sembelih" di pusat atau rumah sembelihan merupakan satu tugas yang sangat teknikal dan berisiko. Kemahiran, kepakaran, pengalaman dan ilmu adalah ramuan penting bagi seorang penyembelih. Pensijilan halal Jakim selama ini amat menitik beratkan soal penyembelih ini, bukan semata-mata hasil sembelihan yang dilihat aspek kebajikan penyembelih juga sangat diberi perhatian..

Justeru, antara salah satu syarat utama untuk menjadi tukang sembelih di Rumah Sembelih yang diperakukan halal oleh Jakim, tukang sembelih ini WAJIB mempunyai tauliah penyembelihan daripada Jab. Agama Islam Negeri di negeri mereka bertugas


PROSEDUR PENGELUARAN TAULIAH PENYEMBELIH 

Pemohon yang layak memohon Tauliah Penyembelih mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:-

  1. Beragama Islam
  2. Sihat akal dan tubuh badan
  3. Warganegara Malaysia atau Pemastautin Tetap Malaysia
  4. Menghadiri kursus yang ditetapkan; 
  5. Bekerja di premis penyembelihan yang berdaftar

Permohonan

a) Hendaklah mengisi borang permohonan yang mengandungi maklumat seperti berikut :

  1. Maklumat pemohon;
  2. Maklumat syarikat/majikan;
  3. Maklumat premis penyembelihan;
  4. Perakuan pemohon;
  5. Perakuan dan sokongan syarikat/majikan.

b) Menyertakan dokumen sokongan seperti berikut ;

 Salinan kad Pengenalan;

  1. Tiga(3) gambar berukuran pasport;
  2. Sijil kursus yang ditetapkan;
  3. Salinan kad suntikan anti typhoid;
  4. Salinan lesen premis perniagaan daripada PBT/DVS;
  5. Surat lantikan kerja daripada pihak majikan;
  6. Pelan lokasi premis.

c) Borang permohonan hendaklah dihantar kembali ke alamat Jabatan Agama Islam di negeri tempat bertugas.

Tauliah dikeluarkan mengikut kategori berikut :

  1. Ternakan ruminan;
  2. Ternakan ayam,itik dan lain

Kadar Yuran Permohonan

  1. Bayaran permohonan adalah ditetapkan sebanyak RM100.00 (Ringgit Malaysia : Seratus sahaja) bagi setiap permohonan untuk tempoh 2 tahun;
  2. Bayaran hendaklah dibuat dalam bentuk wang tunai, bank draf, cek, atau wang pos atas nama PENGARAH JAIN/MAIN;
  3. Bayaran pembaharuan tauliah adalah sebanyak RM50.00 dalam tempoh tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh sah laku;
  4. Permohonan pembaharuan selepas tamat tempoh sah laku akan dikenakan bayaran sebanyak RM100.00 (Ringgit Malaysia : Seratus sahaja);
  5. Bayaran bagi penggantian sijil/kad tauliah baru akan dikenakan sebanyak RM 50.00 (Ringgit Malaysia : Lima puluh sahaja); dan
  6. Bayaran yang dibuat tidak akan dikembalikan.

 Kursus dan Ujian

  1. Peserta hendaklah menghadiri dan mengikuti kursus yang ditetapkan dengan jayanya serta lulus menjalani ujian bertulis/ lisan dan amali yang ditetapkan;
  2. Bagi peserta yang gagal boleh menduduki semula ujian bertulis/ lisan dan amali yang ditetapkan tanpa bayaran tambahan (tidak melebihi dua(2) kali)


Kelulusan

  1. Tauliah Penyembelih akan dikeluarkan setelah diluluskan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri berkenaan;
  2. Hanya pemohon yang mengikuti kursus dengan jaya dan lulus ujian yang ditetapkan layak dipertimbangkan;
  3. Pemohon yang diluluskan akan diberikan “Sijil dan Kad Tauliah Penyembelih”.

 Tempoh Sah Laku

Tempoh sah laku Tauliah Penyembelih adalah selama 2 tahun


 SYARAT- SYARAT PEMEGANG TAULIAH PENYEMBELIH

Syarat Semasa Bertugas

  1. Penyembelih hendaklah menyembelih mengikut hukum Syarak pada setiap masa dan memenuhi keperluan Standard Halal Malaysia yang ditetapkan;
  2. Penyembelih hendaklah memastikan binatang sembelihan dalam keadaan sihat dan masih ada hayyat mustaqirrah semasa sembelihan dilakukan;
  3. Binatang sembelihan dikendalikan dengan cara yang sewajarnya sebelum dan selepas sembelihan;
  4. Karkas hendaklah dikendalikan dengan cara yang bersih dan sesuai;
  5. Sekiranya pemegang tauliah bertugas sebagai pemeriksa halal Muslim (Muslim halal checker), beliau hendaklah melaksanakan tugas-tugas sebagaimana yang ditetapkan mengikut prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Syarat Penggunaan Kad Tauliah Penyembelih

  1. Penyembelih hendaklah mempamerkan atau menunjukkan Kad Tauliah Penyembelih sekiranya diminta oleh pihak berkuasa;
  2. Pemegang tauliah penyembelih tidak boleh mengubahsuai, memindah milik, menyalahgunakan atau membenarkan pihak lain menyalahgunakan tauliah tersebut;
  3. Kad Tauliah Penyembelih tidak sah untuk digunakan sebagai dokumen untuk menjual/ mengedar/ mempromosi sembelihan halal dari premis berkaitan
  4. Tauliah tidak boleh diniagakan atau dipinda isikandungannya

Syarat Tempat Bertugas

  1. Tempat bertugas hendaklah sebagaimana pada Sijil dan Kad Tauliah Penyembelih;
  2. Perpindahan tempat bertugas yang melibatkan syarikat yang sama dan di dalam negeri yang sama hendaklah dimaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri di negeri berkenaan;
  3. Perpindahan tempat bertugas yang melibatkan perpindahan negeri perlu memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri di negeri tempat baru bertugas dengan membawa bersama Sijil dan Kad Tauliah Penyembelih asal.

Syarat Umum

  1. Penyembelih hendaklah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan dibuat;
  2. Membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Negeri jika kehilangan Sijil atau Kad Tauliah Penyembelih;
  3. Mematuhi etika penyembelih sebagai seorang Muslim.

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN

  1. Memastikan  hanya  penyelia,  penyembelih  dan  “  checker”  bertauliah sahaja yang bertugas atau menguruskan hal ehwal berkaitan sembelihan  ternakan pada setiap masa proses ;Memastikan  setiap  pekerja  mematuhi  syarat  dan  peraturan  yang  telah ditetapkan;
  2. Memaklumkan  sebarang  perubahan,  penambahan,  pengurangan  atau pertukaran pekerja bertauliah;
  3. Mewujudkan  mekanisme  kawalan  pengurusan  dan  penyeliaan  ke  atas premis dan pekerja;
  4. Memastikan kebajikan dan keperluan pekerja disediakan terutama tempat solat;
  5. Mengawalselia dengan ketat alat kawalan mesin stunner ( jika ada ) .




ETIKA PENYEMBELIH

  1. Menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim;
  2. Menghindarkan diri daripada terjebak dengan sebarang gejala negatif ;
  3. Penyembelih hendaklah memakai pakaian menutup aurat, sopan serta sesuai sepanjang tempoh menyembelih; 
  4. Menjaga kebersihan diri dan kawasan penyembelihan;
  5. Segera memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri sekiranya berlaku sebarang pelanggaran dari aspek Syarak dan prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang dilakukan oleh pihak majikan.
  6. Tidak bersubahat dalam perkara yang menyalahi syarak
  7. Memastikan hanya sembelihan yang sah sahaja yang dijual kepada pelanggan, bagi yang tidak sah perlulah dimusnahkan dengan cara yang betul.

PEMBAHARUAN

  1. Penyembelih hendaklah mengemukakan permohonan pembaharuan Tauliah Penyembelih dalam tempoh tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh sah laku;
  2. Permohonan hendaklah dibuat di Jabatan Agama Islam Negeri di mana tempat bertugas;
  3. Hendaklah menghadiri mana-mana kursus lanjutan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri

 PEMANTAUAN DAN PENGUATKUASAAN

  1. Jabatan Agama Islam Negeri dan Jakim boleh membuat pemantauan dan penguatkuasaan ke atas pemegang tauliah penyembelih pada bila-bila masa;
  2. Pemantauan atau penguatkuasaan juga boleh dibuat berdasarkan aduan

 PEMBATALAN/PENARIKAN BALIK TAULIAH PENYEMBELIH

  1. Pihak Berkuasa Agama Islam yang meluluskan berkuasa menggantung, membatal atau menarik balik Tauliah Penyembelih yang dikeluarkan jika terbukti pemegang tauliah telah melanggar Syarat-syarat Pemegang Tauliah Penyembelih sebagaimana yang ditetapkan pada Para 3 atau  melanggar Etika Penyembelih sebagaimana ketetapan pada Para 4;
  2. Keputusan Pihak Berkuasa Agama Islam adalah muktamad 

SERTU

  1. Tauliah  digantung  serta  merta  tanpa  notis  sekiranya  didapati  berlaku pencemaran  najis  berat  di  premis  sembelihan  atau  di  sepanjang  proses pengeluaran;
  2. Pihak  premis  hendaklah  menjalankan  proses  sertu  di  bawah  seliaan pegawai  dari Jabatan Agama Negeri sekiranya  didapati  terdapat  pencemaran  najis berat.
  3. Tauliah   dikembalikan   setelah   sertu   dijalankan   dan   pihak   premis mengemukakan   prosedur   terkini   mengelakkan   kejadian pencemaran berulang.


SISTEM TAULIAH PENYEMBELIH

Bagi pemohon yang ingin membuat permohonan bagi mendapatkan Pengesahan Tauliah Penyembelihan, Sila daftar dan log masuk  Laman Web : http://sistem.halal.gov.my/ezabeh



No comments:

Post a Comment