Monday, April 17, 2023

AKUAN KEBENARAN SEMBELIH (AKS) & PERMIT SEMBELIHAN LUAR (PSL)

 

Akuan Kebenaran Sembelih diwujudkan sebagai langkah  bagi memastikan aktiviti penyembelihan ternakan dengan lebih teratur, bersih dan mengambil kira kebajikan haiwan serta keselamatan makanan.

Akuan Kebenaran Sembelih  ini dikeluarkan oleh pihak berkuasa veterinar bagi kawalan penyakit haiwan seperti penyakit kuku dan mulut, hawar berdarah , demam babi, sampar ayam, dan pelbagai penyakit berjangkit yang lain.

Di samping itu, ancaman jangkitan zoonotik seperti tuberculosis, bruselosis, melitensis, melioidosis, salmonellosis dan penyakit-penyakit seperti selsema burung, nipah, anthraks dan BSE perlu sentiasa diawasi.

Ternakan yang akan disembelih perlu disahkan sihat dan bebas dari residu drug Veterinar atau sebarang kimia melalui pemeriksaan kesihatan fizikal atau rekod kesihatan oleh pihak berkuasa Veterinar.


Justeru pemeriksaan ante-mortem dan daging dijalankan demi menjamin keperluan tersebut.

Sebelum disembelih ternakan perlu menjalani proses ante-mortem dan setelah disembelih, karkasnya perlu melepasi proses pemeriksaan daging, sebelum dibenar untuk diedarkan kepada pengguna mahupun bagi tujuan jualan

Karkas yang disahkan sihat dari rumah sembelih ini melalui pemeriksaan kesihatan, antemortem dan post-mortem serta diberi tanda boleh dibenarkan untuk dijual di dalam kawasan atau daerah berkenaan sahaja.

KAWALAN PENYEMBELIHAN

Merujuk pada Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Di buat di bawah Seksyen 86(2), Akta Binatang 1953

Penyembelihan ternakan hendaklah mematuhi undang-undang yang sedang berkuatkuasa semasa negeri dan Persekutuan yang berkaitan dengannya.

Kaedah – kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 - Kaedah 5(1) 

"Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kaedah-Kaedah ini, tiada seorang pun boleh menyembelih atau menyebabkan disembelih apa-apa binatang kecuali di rumah penyembelihan jabatan dan yang dilesenkan"


Rujuk: Arahan Prosedur Tetap Veterinar Malaysia (APTVM) KEBENARAN SEMBELIH  No Dokumentasi: APTVM 21(a):1/2010

Kaedah - Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 - Kaedah 13(1)

Mana-mana orang boleh memohon suatu permit untuk menyembelih dan membersihkan apa-apa binatang di mana-mana tempat selain di rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan dilesenkan:-

(a) bagi maksud apa-apa amalan agama atau adat:

(b) semasa perayaan agama atau adat:

(c) bagi maksud penyelidikan atau pendidikan; atau

(d) bagi maksud mempromosi pemakanan karkas binatang tertentu.

PENGUATKUASAAN KAWALAN PENYEMBELIHAN

Penguatkuasaan permit ini sebagai daripada usaha kerajaan melindungi pengguna terutama daripada penyakit berkaitan haiwan ternakan.

Penyembelihan tanpa permit atau kebenaran bertulis JPV adalah menyalahi undang-undang dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda manakala daging sembelihan boleh dirampas


PENYEMBELIHAN DILAKUKAN:

Secara umumnya penyembelihan ternakan boleh dilakukan  di premis-premis yang telah mendapat kebenaran. Di antaranya ialah :

  1. Rumah Sembelihan Kerajaan (RSJ)
  2. Rumah Penyembelihan Swasta yang telah dilesenkan  (RSS )
  3. Rumah Penyembelihan Swasta Sementara Kebenaran JPV Negeri
  4. Pusat  Kebenaran Sembelihan Sementara (PKSS)
  5. Masjid dan Surau yang diberikan kebenaran melakukan sembelihan

TERDAPAT 2 JENIS PERMOHONAN PERMIT SEMBELIH 

1) Akuan Kebenaran Sembelih Ternakan (AKS)

Mana-mana pihak (sama ada Pembekal dan pengurusan ternakan perlu mendapat Sijil Akuan Kebenaran Sembelih (AKS) daripada Jabatan Veterinar terlebih dahulu bagi setiap seekor binatang sebelum menghantarnya ke

  1. Rumah Sembelihan (Abbattoir) Jabatan Perkhidmatan Veterinar  (Rumah sembelih yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar)  
  2. Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan di bawah Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993 [Akta 507]

Permohonan Akuan Kebenaran Sembelih Ternakan (AKS)

  • Permohonan Permit sembelih dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Veterinar samada di DVS Negeri atau PPVD atau Rumah sembelih Jabatan di mana yang lebih dekat.
  • Isi Borang Permohonan Permit Sembelih terlebih dahulu
  • Pemohon perlu mengemukakan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) yang diperolehi daripada pembekal ternakan sebagai dokumen sokongan dan diserahkan kepada  Pihak Berkuasa Veterinar untuk diproses
  • Bagi negeri yang melaksanakan pendaftaran ternakan, ternakan yang hendak disembelih perlu dibatalkan pendaftarannya.
  • Penyembelihan Kecemasan Binatang yang didapati cedera parah atau dalam sesuatu keadaan yang menghendaki binatang itu disembelih dengan sertamerta boleh disembelih di mana-mana sebelum mendapat permit sembelih. Walau bagaimana pun karkas hanya boleh dijual sebagai makanan setelah mndapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Veterinar
  • Permit sembelih akan menyatakan lokasi keberanan sembelih
  • Fi Dan Bayaran  untuk Akuan Kebenaran Sembelih (AKS) tersebut adalah mengikut peraturan yang berkuatkuasa setempat.( mengikut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri masing-masing / Kebenaran Penyembelihan Negeri bergantung kepada Ordinan Negeri diguna pakai atau tidak)


2) Permit Sembelih Luar (PSL)

Mana-mana pihak (sama ada Pembekal, pengurusan ternakan atau individu) yang nak buat penyembelihan di luar rumah penyembelihan  perlu mendapat Permit Sembelihan Luar (PSL) daripada Jabatan Veterinar terlebih dahulu bagi setiap seekor binatang sebelum menghantarnya ke

  1. Rumah Sembelih Swasta Sementara Di Bawah Kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri
  2. Rumah Sembelih Sementara diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tujuan penyembelihan Adat/ Amalan Agama sebagai contoh Sempena Perayaan Aidilfitri / Aidiladha
  3. Tempat penyembelihan di masjid atau surau yang mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Pejabat Kadi Daerah dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

 Permohonan Permit  Sembelihan Luar (PSL)

  • Bagi penyembelihan di luar Rumah Sembelih perlu mendapatkan permit penyembelihan daripada Rumah Sembelih Jabatan atau JPV Negeri yang berdekatan.
  • Penyembelihan untuk Jualan pada musim perayaan Raya Puasa dan Raya Haji ( hanya  terpakai 3 hari sebelum dan 3 hari selepas)
  • Untuk penyembelihan adat / agama contoh aqiqah korban (Lembu kerbau kambing Bebiri)– Sembahyang (Khinzir)
  • Diguna pakai atau sah  hanya di pusat sembelihan sementara kebenaran JPV Negeri , kebenaran PBT (Permis) dan kebenaran bersyarat Majlis agama Islam Johor ( Masjid/ Surau Terpilih) contoh Sembelihan Korban
  • Setiap ternakan yang ingin disembelih perlu mendapatkan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dari JPV Negeri atau Pejabat Veterinar Daerah yang berdekatan.
  • Permohonan  Sijil Kesihatan Veterinar (SKV)  dan sijil pindah bagi tujuan diatas hendaklah Bersama dengan permit penyembelihan.(3 hari sebelum – bergantung kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri  atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah berkaitan) 
  • Kebenaran Penyembelihan Negeri bergantung kepada ordinan Negeri diguna pakai atau tidak
  • Fi Dan Bayaran Permit Sembelihan Luar

    Kutipan fi bagi kebenaran atau permit sembelih luar daripada rumah sembelihan, telah diwartakan di seluruh negara sejak tahun 2009 di bawah seksyen 82 Akta Binatang 1953 [Akta 647] (Penetapan Pusat Veterinar dan Fi Bagi Perkhidmatan Lain).

    Bayaran bagi Permit Sembelihan Luar ditanggung sepenuhnya oleh penternak dan ia merangkumi beberapa perkara termasuk pengambilan darah haiwan ternakan bagi memastikannya selamat untuk pengguna.  Fi adalah sepertimana di bawah ini


GARIS PANDUAN PENYEMBELIHAN TERNAKAN KORBAN

Permit Sembelihan Luar Bagi Tujuan Sembelihan Ibadah Korban

Pembekal dan pihak pengurusan ternakan korban perlu mendapatkan Sijil Kesihatan Veterinar,  Akuan Kebenaran Pindah Ternakan dan Permit Penyembelihan Luar Pusat Veterinar Kecil, Pejabat Veterinar Daerah dan Ibu pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berkenaan dan juga capaian atas talian e-permit

Sekiranya, ternakan tersebut akan disembelih di masjid, surau, padang awam, balai raya dan rumah persendirian, selain daripada Sijil Kesihatan Veterinar dan Akuan Kebenaran Pindah, Permit Penyembelihan Luar juga perlu dipohon oleh pihak pengurusan ternakan korban atau mana-mana individu yang akan menjalankan aktiviti korban. Permit Penyembelihan Luar boleh diperolehi dari Pusat Veterinar Kecil, Pejabat Veterinar Daerah, Ibu pejabat Perkhidmatan Veterinar

GARIS PANDUAN PENYEMBELIHAN TERNAKAN KORBAN

Merujuk pada Buku GPK (A) : 1/2012 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia


Ternakan bagi tujuan ibadah Korban hendaklah mempunyai

  1. Akuan Pemindahan Ternakan
  2. Sijil Kesihatan Veterinar
  3. Permit Penyembelihan Luar

Pihak Berkuasa Veterinar hendaklah memeriksa setiap ternakan korban sebelum Sijil Kesihatan Veterinar dan Akuan Kebenaran Pindah dikeluarkan bagi memastikan ternakan yang akan disembelih sihat dan bebas daripada penyakit.



Permohonan Permit Sembelihan Luar Secara On-Line

Permohonan boleh di lakukan melalui pautan  https://sihat.dvs.gov.my/sihat/  (Klik pautan)




Pengesahan  dan Pengeluaran Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) bagi Ternakan untuk sembelih

Rujuk: Arahan Prosedur Tetap Veterinar Malaysia (APTVM) PENYEDIAAN SIJIL KESIHATAN VETERINAR  No Dokumentasi: APTVM (20b:2009

Pembekal dan pihak pengurusan ternakan perlu mendapat sijil akuan kebenaran sembelih daripada Jabatan Veterinar terlebih dahulu bagi setiap seekor binatang sebelum menghantarnya ke rumah penyembelihan

Semua ternakan yang disembelih hendaklah memiliki tanda pengenalan yang dicatatkan dalam SKV.

Status kesihatan di dalam sijil Kesihatan Veterinar (SKV) perlu dinyatakan penyakitnya sekiranya akan disembelih atas sebab kesihatan

Semua penyembelihan termasuk penyembelihan kecemasan atau penyembelihan disebabkan pembasmian penyakit mesti mendapat permit sembelih dari Pihak Berkuasa Veterinar

Ternakan yang hendak disembelih hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan dan dipastikan bebas dari sebarang penyakit dan bahan kimia

Keputusan ujian makmal yang mengesahkan status terkini sesuatu penyakit/ residu kimia terhadap haiwan boleh digunakan sebagai dokumen sokongan bebas penyakit.

Pengesahan Kesihatan dan Akuan Kebenaran Pindah Keluar (AKPK) Ternakan untuk Tujuan sembelih

Merujuk pada 

Arahan Prosedur Tetap Pengurusan Kebenaran Pindah Haiwan, Hasil dan Produk Haiwan Dalam Negeri Di Malaysia  No. Dokumentasi: APTVM (20a(1):2009)

Arahan Prosedur Tetap Pengurusan Kebenaran Pindah Haiwan, Hasil dan Produk Haiwan Dalam Negeri No. Dokumentasi: APTVM 22(d): 1/2011

Pembekal dan pihak pengurusan ternakan perlu mendapat sijil akuan kebenaran pindah ternakan (AKPK) bagi tujuan sembelih daripada Jabatan Veterinar terlebih dahulu bagi  bagi membolehkan Setiap pergerakan haiwan ternakan dipindahkan antara satu premis ke permis lain secara sah sebelum menghantarnya ke rumah penyembelihan

Permohonan kebenaran pindah haiwan ternakan hendaklah dibuat di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah di lokasi asal. Pegawai kaunter permit perlu memastikan samada pemindahan tersebut dalam lokasi asal, merentasi mukim, daerah, jajahan, bahagian, kawasan atau negeri.

SYARAT PERMINDAHAN TERNAKAN BAGI TUJUAN PENYEMBELIHAN;

  1. Hanya dibenarkan di Rumah Sembelih yang dibenarkan oleh Jabatan sahaja.
  2. Jika ternakan yang hendak disembelih itu betina perlu mendapat pengesahan daripada Doktor Veterinar yang bertauliah oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
  3. Bagi tujuan penyembelihan diluar kawasan Rumah Sembelih selain yang digazetkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu mendapat kebenaran yang disahkan oleh Pengarah Perkhidmatan Veterinar.
  4. Bagi ternakan yang telah dipindahkan ke Rumah Sembelih (dibenarkan oleh Jabatan) hendaklah   disembelih tidak melebihi 30 hari. Jika penyimpanan melebihi 30 hari  perlu  mendapat kebenaran khas daripada Pengarah Veterinar Negeri.
  5. Lori yang digunakan bagi tujuan pemindahan perlu di ‘Seal pada bahagian kenderaan yang kehendaki. (sila rujuk kaunter jika ada pertanyaan)

Surat kebenaran Menyembelih Ternakan Betina

Pemohon harus memohon surat kebenaran menyembelih dari Pihak Berkuasa Veterinar untuk ternakan ruminan betina yang hendak disembelih atau dijual untuk disembelih. Tujuanya adalah

  • Memastikan ternakan ruminan betina (lembu / kerbau, kambing / bebiri) yang masih muda dan produktif tidak disembelih dengan sewenang - wenangnya.
  • Memastikan kemampanan dan seterusnya meningkatkan populasi ternakan ruminan tempatan.
  • Mengurangkan kebergantungan terhadap import ternakan ruminan dari luar negara

Pengangkutan Ternakan

  • Kenderaan yang membawa ternakan ke rumah sembelih hendaklah berdaftar dengan JPV.
  • Pemandu hendaklah membawa bersamanya dokumen Permit sembelih,  Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dan Akuan kebenaran Pindah (AKP) untuk ke rumah sembelih.
  • Jenis ternakan, jantina dan nombor ternakan yang dibawa mestilah tersenarai dalam bersama nombor kenderaan.
  • Pengangkutan ternakan hendaklah mematuhi keperluan kebajikan ternakan.
  • Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri boleh menetapkan agar kenderaan di dipasang seal tag dan atau diiringi ketika wabak penyakit.

Pemeriksaan Ante-mortem Di Rumah Sembelih/Loji pemprosesan.

  • Ketibaan ternakan di rumah sembelih/ loji pemprosesan /tempat penyembelihan hendaklah diiringi dengan Permit sembelih,  Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dan Akuan Kebenaran Pindah (AKP)
  • Semua ternakan dipastikan ada tanda pengenalan bagi tujuan daya jejak.
  • Semua ternakan hendaklah pastikan sihat dan bersih sebelum disembelih.
  • Pemeriksaan dan pengesahan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Veterinar  di mana berkenaan.
  • Rekod pemeriksaan dan dokumen terlibat hendaklah disimpan oleh Pihak Berkuasa Veterinar  rumah sembelih berkenaan.


Pemeriksaan Post-mortem dan Lagenda /Tanda Pengenalan

  • Karkas dan organ dalaman hendaklah diperiksa dan disahkan bebas sebarang risiko penyakit dan bahan yang memudaratkan kepada pengguna
  • Pihak Berkuasa Veterinar ( Pegawai Pemeriksa Daging) akan memberi Tanda Selar/ tag pengenalan sebagai kepastian produk sesuai dan selamat untuk dimakan

Pengedaran/Pemasaran Daging

  • Kenderaan pengangkut produk/karkas mestilah berdaftar dengan JPV
  • Kenderaan dan bekas penyimpanan produk mestilah bersih dan sesuai bagi mengelakkan pencemaran semasa pengangkutan
  • Kenderaan yang membawa daging babi tidak dibenarkan bercampuran dengan makanan yang lain dan hendaklah ditanda Untuk Babi sahaja
  • Kenderaan mestilah mempunyai kemudahan penyimpanan sesuai bagi mengekalkan kualiti, kebersihan dan keselamatan produk sehingga sampai ke tempat pemasaran/pengedaran.
  • Produk dipasarkan di kawasan yang ditetapkan seperti yang ternyata dalam Sijil Kesihatan Veterinar (SKV)  Produk.
  • Pengedar/penjual perlu mengekalkan/ menyimpan tag pengenalan/salinan dokumen bagi tujuan pemeriksaan pegawai penguatkuasa

No comments:

Post a Comment