Saturday, May 11, 2024

PERMOHONAN LESEN MEMBINA RUMAH SEMBELIHAN

PERMOHONAN LESEN KEBENARAN MEMBINA RUMAH SEMBELIHAN

Untuk Makluman, Pengusaha-pengusaha yang ada rancangan dan berminat untuk membina atau membangunkan  Rumah Penyembelihan Ternakan Tempatan perlulah membuat permohonan lesen kebenaran membina terlebih dahulu sebelum sesuatu Lesen Operasi Rumah Penyembelihan dapat diberikan. 

SENARAI SEMAK DOKUMEN PERMOHONAN LESEN MEMBINA RUMAH PENYEMBELIHAN SWASTA

Berikut adalah beberapa senarai semak yang setiap pengusaha perlu ambil perhatian..

KELULUSAN KEBENARAN MERANCANG (KM)

Perkara utama yang Pengusaha  Rumah Penyembelihan Tempatan perlu terlebih dahulu membuat adalah mendapatkan   kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

* Salinan Surat Kelulusan / Syor daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) samaada Kebenaran Merancang Penuh (KM), Kebenaran Merancang Terhad (KMT),Pengecualian Kebenaran Merancang (PKM)


SIJIL PENDAFTARAN SYARIKAT (SSM)

Secara amnya, Sijil Pendaftaran Syarikat menjadi satu kewajipan pengusaha  mendaftar  perniagaan samaada  secara sampingan atau serius sepertimana Mengikut Akta Perniagaan 1956 



GERAN TANAH

Tapak Rumah Penyembelihan Tempatan adalah sebaiknya pemilik tanah juga hendaklah mempunyai geran

* Geran Tanah dan Pelan diperlukan sekiranya Tanah milik Pemohon




PERJANJIAN SEWAAN / PAJAKAN

Jika tanah itu bukan miliknya, pemilik pengusaha perlu mendapatkan kebenaran bertulis dan perjanjian sewaan atau pajakan jangka panjang untuk menduduki tanah tersebut tanpa sebarang halangan untuk suatu tempoh yang ekonomik.

* Surat Perjanjian Guna / Sewa diperlukan sekiranya Tanah bukan milik Pemohon.

Contoh :

PELAN PEMBINAAN
Pengusaha haruslah mengemukakan  Pelan Pembinaan yang menunjukan pelan kunci, pelan lokasi, pelan tapak, kedudukan sungai, parit, belukar dan kontur ketinggian serta kecuraman tanah dikawasan cadangan tapak. 

* Layout Pelan Rumah Sembelih di lukis oleh arkitek yang bertauliah.


PROFIL SYARIKAT

Profil syarikat bertindak seperti dokumen informatif yang menonjolkan apa yang dimaksudkan oleh perniagaan dan apa yang berfungsi sebagai pelan untuk pertumbuhan.
Profil syarikat merupakan keterangan terperinci berserta butiran perihal syarikat yang memaparkan segala informasi dalaman berkenaan sesebuah organisasi atau syarikat.

* Profil syarikat perlu dinyatakan perkara berikut:
  1. Penerangan / Maklumat berkaitan Syarikat
  2. Senarai Ahli Jemaah Pengarah dan Kakitangan Syarikat
  3. Kapasiti Penyembelihan dan Jenis Penyembelihan
  4. Keupayaan Tenaga kerja
  5. Keupayaan Kewangan
  6. Cadangan Kesesuaian Tapak Projek 
  7. Cadangan Pelaksanaan Projek meliputi Cadangan Infrastrutur Utama Rumah Penyembelihan

SALINAN KAD PENGENALAN
Salinan Pemohon / Pemegang-pemegang Saham Syarikat / Pengarah Syarikat


PERMOHONAN LESEN KEBENARAN MEMBINA RUMAH SEMBELIHAN

Seterusnya Pengusaha  Rumah Penyembelihan Tempatan perlu mengemukakan permohonan   Lesen Kebenaran Membina  Rumah sembelih kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Putrajaya

SURAT SOKONGAN DARI JPV NEGERI

Setiap Permohonan Lesen Kebenaran Membina  Rumah Sembelih perlu disertakan bersekali dengan surat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri terlebih dahulu. Pihak JPV Negeri akan diminta memberi ulasan teknikal bertulis untuk menolak atau menerima atau menyokong dengan syarat diatas permohonan supaya sebarang keputusan tidak bercanggah dengan Enakmen-enakmen Negeri yang telah ditetapkan ( contoh *perintah kawalan Penyakit Negeri Johor 2005)

Adalah disarankan Pengusaha  Rumah Penyembelihan Tempatan yang memohon   Lesen Kebenaran Membina  Rumah sembelih perlulah mematuhi keperluan minimum yang diperlukan seperti keperluan- keperluan asas bagi sesebuah rumah penyembelihan seperti kandang, bangunan, peralatan penyembelihan dan pemprosesan serta juga kolam kumbahan. Keperluan asas ini adalah penting bagi sesebuah rumah penyembelihan untuk menjamin pengeluaran karkas dan daging yang selamat untuk pengguna. 


SURAT SOKONGAN DARI JABATAN AGAMA NEGERI

  1. * Bagi permohonan lesen rumah sembelih babi, pengesyoran dari Jabatan Agama Islam Negeri diperlukan.
  2. Permis Rumah Sembelih Babi disyorkan dibina / terpisah jauh di kawasan yang jaraknya sekurang-kurangnya 5 kilometer dari kawasan perumahan penduduk Muslim, Balai Raya, Masjid/ Surau, Sekolah dan Kawasan riadah awam.
  1. Bagi permohonan lesen rumah sembelih Ruminan, keperluan mendapatkan Sijil Tauliah Penyembelihan  bagi juru sembelih perlu diperolehi dari Jabatan Agama Islam Negeri
* Salinan Sijil / Kad Tauliah Penyembelih Halal bagi Permohonan Rumah Sembelih Ruminan

SYARAT-SYARAT AM

  1. Pemohon perlu memohon lesen rumah penyembelihan tempatan dari BAHAGIAN REGULATORI, IBU PEJABAT JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR, PUTRAJAYA
  2.  Pemohon perlu mempunyai lesen perniagaan dan SSM yang sah
  3. Pemohon mestilah warganegara Malaysia
  4. Status tanah adalah hak milik persendirian, pajakan atau penyewaan yang sah. 

    KLIK LINK UNTUK MENDAPATKAN BORANG PERMOHONAN : 

    HANTAR BORANG PERMOHONAN

    • Pemohon perlu cetak salinan

    a)    Borang permohonan

    b)    Dokumen sokongan

    • Dokumen tersebut perlu dihantar dalam tempoh DUA (2) Minggu dari tarikh permohonan kepada

    BAHAGIAN REGULATORI,

    IBU PEJABAT

    JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR, PUTRAJAYA


    8. BAYARAN FI PERMOHONAN

    • Pembayaran fi permohonan adalah sebanyak RM 100.00
    • Resit pengesahan pembayaran fi permohonan tersebut perlu disertakan bersama dengan Dokumen Sokongan dan Borang Permohonan.


    MEMPROSES BORANG PERMOHONAN

    • Urus setia JPV akan proses Borang Permohonan Pemohon
    • Pastikan Borang dan Senarai Semak Dokumen yang diperlukan mencukupi
    • Urus setia JPV akan melantik beberapa orang Pegawai Auditor dan akan datang membuat Lawatan Audit Kelulusan Membina ke tapak premis penyembelihan tersebut.
    • Laporan Audit Pemerhatian akan di buat.

    PEMBENTANGAN SYOR AUDIT DI MESYUARAT JAWATANKUASA TEKNIKAL PERMOHONAN BARU RUMAH PENYEMBELIHAN

    •  Pegawai Auditor akan membentangkan
    • Laporan Syor Audit di Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Permohonan Baru Rumah Penyembelihan Swasta .
    • Jawatankuasa akan menilai dan membuat keputusan berdasarkan ulasan dan hasil Audit sama ada disyorkan bagi permohonan tersebut sama berstatus

                a) LULUS

                b) GAGAL

                c) TANGGUH

    LOKASI RUMAH PENYEMBELIHAN

    1. Lokasi premis adalah di tapak/zon perindustrian
    2. Sekurang-kurangnya 200 meter dari bangunan rumah sembelih ke kawasan kediaman awam  bagi mengelakkan kacau ganggu awam 
    3. Bukan dalam kawasan tadahan air
    4.  Jauh daripada pencemaran bau, pencemaran air, kehadiran makhluk perosak dan sebagainya.
    5. Mempunyai akses kepada kemudahan asas air, elektrik dan jalanraya
    6. Kawasan hendaklah berpagar dengan ketinggian minimum 6 kaki


    Pastikan jarak minima 200 meter cadangan tapak pembinaan Rumah Penyembelihan Tempatan dari kawasan perumahan, sekolah, klinik, tempat ibadat dan public amneties seperti kawasan rekreasi, pasar dan tempat awam.

    Lokasi  Tapak pembinaan rumah sembelih  perlulah terletak sekurang-kurangnya 500m jauhnya dari kawasan simpanan tadahan air atau sungai.

    •  Tapak pembinaan rumah sembelih juga perlu dihubungkan dengan sistem jalan yang sempurna 
    •  Tapak pembinaan rumah sembelih hendaklah dilengkapi dengan sistem jalan yang sempurna, baik, kuat dan rata supaya air tidak bertakung.
    • Jalan-jalan sementara (access road)
      Jalan-jalan sementara hendaklah dibina. Laluan ini dibina di atas tapak yang telah dikenalpasti sebagai jalan utama menuju ke bangunan tersebut. Jalan sementara Diperlukan untuk membawa masuk atau keluar bahan-bahan.
    • Tapak pembinaan rumah sembelih hendaklah mempunyai bekalan kuasa elektrik yang sempurna dan mencukupi dari Tenaga Nasional Berhad  dan  bekalan air dari Syarikat / Jabatan Bekalan Air Negeri 
    • Bekalan kuasa atau elektrik merupakan suatu perkara yang perlu di adakan di tapak bina. Kegunaan kuasa ini adalah untuk mengendalikan peralatan-peralatan mesin
    • Kemudahan Asas Bekalan air Bagi mendapat paip sementara, kontraktor perlu kelulusan daripada jabatan bekalan air dengan menjelaskan bayaran pendahuluan pada kadar yang ditetapkan sebelum bekalan air disediakan.


    • Kawasan Tapak Rumah Penyembelihan haruslah mempunyai sistem keselamatan dengan mempunyai pagar  sekeliling dan pintu kawalan keluar masuk yang sempurna.

    • Kandang Ternakan  perlu mempunyai ramp, holding yard (tempat yang selesa, palung air dan  bekas makanan) dan lairage . Keluasan yang sesuai adalah 1.7m² bagi setiap seekor ruminan besar
    • Bangunan kandang simpanan sementara atau kandang istirahat paling kurang berjarak 10 meter dari tapak cadangan bangunan utama.

    CADANGAN TAPAK RUMAH SEMBELIH



    • Perlu memastikan Tapak pembinaan Rumah sembelih bukan dalam kawasan risiko banjir. 
    • Semasa melakukan kerja-kerja penolakan tanah atau meratakan tapak , aliran air semula jadi tidak boleh ditutup, atau diubah.



    MERANCANG TANDA TAPAK

    Sebelum kerja-kerja pembinaan sesebuah pembinaan dapat dijalankan, tapaknya mestilah dikenalpasti, sempadannya ditentukan dan kawasannya dibersihkan. Kerja menanda kedudukan bangunan dikenali sebagai merancang tanda tapak.

    Mentafsir pelan tapak

    Pelan tapak bangunan hendaklah diteliti untuk mengetahui kehendak-kehendak arkitek sebelum kerja merancang tanda dimulakan.
    1. Skala, anak panah utara (north arrow), aras datum, tarikh ukur tanah.
    2. Garisan sempadan
    3. Kedudukan bangunan dan struktur lain seperti asas, tembok, pagar, tangga dan sebagainya.
    4. Keadaan jiran – bangunan Rumah sembelih , Kandang ternakan, jalan, saliran air dan sebagainya.
    5. Kemudahan-kemudahan – paip air, bekalan elektrik,  pembetungan/ kolam kumbahan dan lain-lain.
    6. Kedudukan sungai, paya dan lain-lain lagi yang berdekatan.
    7. Kontur dan kecerunan tanah tapak.



    Ketinggian bangunan dirancang menyesuaikan dengan kontur tranah yang ada

    MENGARAS

    Tapak bangunan perlu diaraskan terlebih dahulu untuk mengetahui berapa banyak tanah yang hendak dipotong atau ditambah dan juga menentukan pemandangan daratan. Pengarasan ini biasanya dilakukan oleh juru ukur menggunakan alat aras dan stafnya.

    Kaedah merancang tanda tapak bangunan

    Setelah pelan kedudukan bangunan ditafsirkan, kedudukan ini hendaklah ditandakan pada tapak bina dengan pancang


    Pancang ukur tapak

    Selepas kedudukan tembok bangunan ditandakan, tindakan hendaklah diambil untuk mengekalkan tanda-tanda ini. Kaedah yang diamalkan ialah menggunakan pancang ukur tapak. Pancang ini didirikan di sekeliling garisan bangunan dengan jarak sekurang-kurangnya 1.2 m dari garisan tersebut. Jarak ini diperlukan supaya pancang yang didirikan itu tidak mengganggu kerja-kerja pembinaaan yang akan dijalankan.Pancang ukur tapak ini hendaklah rata untuk memastikan ukuran yang tepat.


    SISTEM PENGURUSAN BAHAN BUANGAN DAN KOLAM KUMBAHAN 

    Cadangan bagi tapak pembinaan kolam rawatan kumbahan rumah sembelih yang sempurna dan lengkap untuk rawatan segala air kotor seperti air najis, kencing, darah, lemak-lemak, sisasisa bangkai binatang, kelodak-kelodak dan sebagainya dengan memuaskan. Air kumbahan yang telah dirawat hendaklah mematuhi piawaian kualiti air yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

    Cadangan Tapak Pembinaan Kolam kumbahan perlulah mengambil kira beberapa faktor

    • Saluran perparitan air sisa ke sistem kumbahan
    • Bahan buangan pepejal disalurkan melalui pemisah.
    • Mempunyai sekurang-kurangnya dua sistem kumbahan yang khusus;

                1)Sisa darah disalur ke takungan khas

                2)Sisa pepejal lain disalurkan ke kolam kumbahan yang berasingan 





    Kerja-kerja Penentuan Arah Kiblat

    • Sebaik sebelum Rumah Sembelih dibangunkan tentukan dulu arah kiblatnya.
    • Bagi kerja-kerja permulaan membuka tanah bagi tujuan pembinaan baru bangunan rumah sembelih. Kerja ukur mestilah dimulai dengan mencari DATUM ( Satu aras yang diambil sebagai panduan untuk menandakan aras yang lain bagi bangunan yang akan didirikan) yang sah iaitu 3 batu sempadan yang masih berkeadaan baik dan masih sama seperti mana dlm kedudukan Pelan Akui

    • Cadangan Pembinaan Bangunan Rumah Sembelih tersebut akan mengikut arah kiblat terutama ruangan tempat sembelihan ternakan. Dengan adanya Reference Mark (RM) senanglah arah kiblat  ditanda apabila mula  kerja-kerja pembinaan.


    TEMPOH PEMBINAAN DAN JANGKA SIAP (Carta Perbatuan)

    * Nyatakan tempoh pembinaan dan jangka siap projek

    Carta Perbatuan adalah petunjuk bagi membantu memberikan gambaran visual yang jelas tentang garis masa projek. Dimana tempoh pelaksanaan keseluruhan projek hanya boleh diperoleh melalui penjadualan semua tugasan/aktiviti yang telah dikenal pasti. 


    Melalui Carta Perbatuan ini, penentuan laluan kritikal atau Critical Path Method (CPM) boleh dikenal pasti, iaitu tempoh paling lama untuk melaksanakan tugasan/aktiviti yang saling berkait. 
    • Tunjukkan tarikh mula dan tamat yang dirancang bagi setiap tugasan.
    • Status Projek pada penjadualan dan masa tugas.
    • Mengetahui jangka  tempoh masa untuk siap pembinaan mengikut  jadual.

    PERMOHONAN  LESEN RUMAH PENYEMBELIHAN SWASTA SECARA ONLINE SISTEM

    Buat pemohon Membina / Lesen Rumah Penyembelihan Swasta secara Online

    Sila klik pada pautan 

     ( http://sihat.dvs.gov.my BUAT PERMOHONAN )


    PANDUAN BUAT PERMOHONAN SECARA ONLINE SISTEM 

    1) Panduan & Tatacara Penggunaan Sistem Sihat Permohonan Membina / Operasi 

    Sila klik pada pautan 

     ( http://sihat.dvs.gov.my Panduan Permohonan Membina / Operasi )

    2) Panduan & Tatacara Penggunaan Sistem Sihat Permohonan Lesen 

    Sila klik pada pautan 

     ( http://sihat.dvs.gov.my Panduan Permohonan Lesen )


    ☞ Sambung (Sila Klik) pada pautan : PERMOHONAN LESEN OPERASI RUMAH PENYEMBELIHAN TEMPATAN / SWASTA