Saturday, August 19, 2023

TEKNOLOGI STUNNING DALAM PENYEMBELIHAN


TEKNOLOGI STUNNING DALAM PENYEMBELIHAN

Stunning ialah kaedah memengsankan haiwan terlebih dahulu sebelum disembelih supaya haiwan tersebut tidak merasa sakit ketika penyembelihan dilakukan. Penggunaan stunning telah digunakan dengan meluasnya oleh negara-negara barat terutamanya pengeluar utama daging seperti di New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Animal Welfare Council mendakwa bahawa tujuan utama penggunaan stunning ini digunakan secara meluas adalah kerana penggunaan stunning dapat menenangkan haiwan dan akan memudahkan kerja-kerja penyembelihan.

Undang-undang Kesatuan Eropah semasa menyatakan bahawa semua haiwan yang diternak untuk proses pengeluaran makanan mesti melalui proses stunning (kejutan menggunakan elektrik, gas, atau pistol setrum) sebelum dibunuh atau disembelih.

Disebabkan peningkatan terhadap sembelihan haiwan ternakan , pelbagai jenis kemudahan teknologi telah diperkenalkan. Antara yang paling meluas digunakan adalah teknologi stunning dalam penyembelihan. Kaedah stunning adalah satu kaedah yang membantu proses penyembelihan haiwan ternakan menjadi lebih mudah jika dalam kuantiti yang banyak.

Boleh dikatakan kesemua Jabatan Mufti Negeri-negeri di Malaysia menyandarkan hukum penyembelihan haiwan secara stunning kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia.


Kaedah penetapan pengeluaran hukum (istinbath hukum) bersumber dari hadith Rasulullah SAW
 yang diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus, Rasulullah SAW bersabda:


إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan agar berbuat baik terhadap segala sesuatu. Jika kalian hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang terbaik. Jika kalian hendak menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kalian menajamkan pisaunya dan mengistirahatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Proses penetapan hukum (istinbath hukum) tentang kaedah stunning ini juga mengambil kira pandangan ulama’ kontemporari yang tersohor iaitu Sheikh Wahabah az-Zuhaily mengenai tata cara penyembelihan dengan alat-alat modern menyatakan bahawa tidak ada halangan untuk menggunakan apa jua kaedah melemahkan pergerakan haiwan dengan cara tanpa penyiksaan terhadapnya (untuk
penyembelihan haiwan).

Untuk itu, dalam Islam diperbolehkan menggunakan cara pemengsanan modern (stunning) yang tidak mematikan sebelum penyembelihan
(Wahbah al-Zuhayli, 1986).

Mengapa Stunning dibenarkan ??? 

Ianya dibenarkan kerana beberapa sebab:

  1. Kaedah stunning dapat memudah dan mempercepatkan proses penyembelihan. 
  2. Ia juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan dan pengeluaran daging halal dalam pasaran.
  3. Kaedah ini dapat meminimakan kecederaan ke atas haiwan, sekaligus meningkatkan mutu daging yang disembelih.
  4. Mengelakkan haiwan daripada diseksa atau dipengsankan dengan cara yang lebih berat selain stunning.

Jadi cara stunning diperbolehkan hukum asal pada saat pemengsanan tidak menyebabkan kematian diperbolehkan iaitu selama proses penyembelihan tidak menyiksa haiwan yang disembelih. Proses penyembelihan haiwan perlu dilakukan sesuai dengan syariat dan juga sesuai dengan konsep halalan toyyiban,Jangan sampai apa yang kita sembelih menjadi haram ( mati sebelum haiwan tersebut di sembelih)

Syarat stunning

  1. Penyembelih yang profesional dari kalangan Muslim agar dapat menghilangkan sebarang bentuk keraguan. 
  2. Alat Staning bukan dikendali oleh orang bukan Islam. Ia mestilah dikendali oleh petugas Muslim atau badan yang mendapat pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).
  3. Memenuhi syarat-syarat sah sembelihan
  4. Mempunyai hayat mustaqirrah
  5. Pengsan apabila melalui proses stunning dan sedar semula jika tidak disembelih
  6. Terdapat petugas Muslim (halal  checker)  mengawalnya semasa penyembelihan
  7. Penggunaan stunning hendaklah dikawal selia oleh Badan Pengiktirafan Halal
  8. Haiwan yang dikenakan stunning hanya mengalami mengalami kejutan sementara dan tidak mati atau kecederaan kekal
  9. Peralatan stunning untuk binatang tidak halal tidak boleh digunakan untuk binatang halal

Antara haiwan yang biasa melalui proses stunning ialah lembu, kambing, dan ayam. Terdapat pelbagai jenis kaedah stunning yang diperkenalkan antaranya ialah

  1. Kejutan elektrik,
  2. Water Stunner 
  3. Thoracic sticking 
  4. Stunning mekanikal (Captive Bolt )

KAEDAH STUNNING: KEJUTAN ELETRIK (Electrical Shock)

Kejutan elektrik  (Electrical Shock) di kepala sahaja digunakan untuk memengsankan lembu, kambing dan biri-biri. Kaedahnya ialah dengan meletakkan sepasang penyepit di kedua-dua belah kepala haiwan dan mengalirkan aliran elektrik ke otak. 

Aliran elektrik dialirkan dengan kadar yang sesuai dan tempoh masa yang sesuai mengikut jenis haiwan, saiz dan jantina. Ini adalah begi mengelakkan aliran elektrik mengalir ke seluruh badan yang akan menyebabkan jantung berhenti dan boleh membawa kepada kematian haiwan tersebut.

Kajian yang dilakukan bersama antara Muslim World League dan WHO pada 1986 mendapati bahawa pelaksanaan electrical stunning head sahaja yang tidak menyebabkan kematian haiwan. Sekiranya tidak disembelih, ia akan sedar sepenuhnya.

Kejutan elektrik  adalah satu kaedah yang menggunakan arus elektrik perlahan kepada haiwan sebelum di sembelih. Kaedah ini akan menyebabkan haiwan yang terkena kejutan elektrik ini menjadi lali dan pengsan seketika. Kadar arus elektrik adalah sentiasa dalam kawalan dan peratusan yang telah di tetapkan.



Pada 24 November 1988, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-22 bersidang untuk membincangkan mengenai isu lembu yang di sembelih melalui proses penggunaan Electrical Stunning. Keputusan daripada Muzakarah ini telah memutuskan hukuman harus terhadap penggunaan Electrical Stunning dalam Penyembelihan Lembu (e-Fatwa, 2015).

Kaedah Kejutan Elektrik (Electrical Shock Stunning) dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Jenis kejutan stunner yang digunakan adalah di kepala sahaja (head only stunner) Arus elektrik dialirkan atas kepala haiwan bagi kambing dan biri-biri manakala di bahagian hidung bagi lembu.
  • Volume arus elektrik hendaklah sentiasa dalam kawalan, iaitu tidak boleh melebihi had antara 0.75 ampere untuk kambing, 2.0 ampere untuk lembu;
  • Aliran elektrik hendaklah dilaksanakan dalam tempoh masa antara tiga hingga enam saat; dan
  • Proses kaedah kejutan elektrik ini hendaklah dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.

Bagi ternakan ayam dan itik kaedah Waterbath Stunning (poultry) itik adalah diharuskan dengan syarat:

  • Hendaklah dipastikan ternakan ayam dan itik tidak mati melalui kawalan arus Elektrik
  • Proses kaedah kejutan elektrik ini hendaklah dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.

KAEDAH STUNNING: WATER STUNNER

Sejenis alat elektrik yang menggunakan medium air untuk kejutan haiwan sebelum disembelih. Kaedah ini digunakan untuk haiwan beburung seperti ayam, itik dan angsa. Haiwan akan digantung kaki ke atas pada besi yang bergerak ke satu takungan air yang mempunyai aliran elektrik. Juruteknik yang bertauliah akan mengawal kekuatan arus elektrik bagi memastikan aliran tidak terlalu tinggi.


Kaedah ini menggunakan air untuk membantu proses penyembelihan. Air berfungsi untuk melemahkan kondisi binatang sebelum ia melalui proses sembelihan. Antara contoh binatang yang biasa melalui proses ini ialah ayam.

Water stunning ini digunakan untuk menenangkan dan mengurangkan tekanan Ketika sembelihan. Ayam berada dalam water stunner berarus eletrik 0.25- 0.50 A selama 3-5 saat. Selepas proses stunner seorang halal ‘ checker’ diletakkan untuk memastikan hanya ayam yang hidup Sahaja yang disembelih.

Pada 24 November 1988, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-22 telah berdiskusi mengenai isu penyembelihan ayam dengan pelalian Water Stunner. Keputusan daripada diskusi ini telah bersetuju bahawa adalah harus menggunakan 'Water Stunner' dalam proses penyembelihan ayam (e-Fatwa, 2015).

KAEDAH STUNNING: THORACIC STIKING 

Kaedah thoracic sticking yang merupakan prosedur tambahan selepas penyembelihan lengkap dilakukan.

Praktikalnya, bagi haiwan besar seperti lembu yang telah disembelih, teknik ini dilakukan dengan memotong urat utama sekitar jantung dengan menggunakan pisau, bertujuan mempercepat aliran darah dengan memutuskan brachiocephalic  trunk atau Common carotid trunk dan tidak bertujuan untuk menikam jantung haiwan. Berasaskan hal ini, fatwa juga telah memutuskan thoracic sticking dibenarkan selagi memenuhi panduan yang digariskan.



Jika kaedah thoracic sticking ini dilakukan sebelum penyembelihan tersebut berlaku dengan sempurna maka tidak di bolehkan. 

Stunning Angin (Thoracic Stiking) Pada 29 September 2005, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah berdiskusi mengenai isu kaedah thoracic stiking dalam sembelihan haiwan. Muzakarah telah memutuskan bahawa prosedur tambahan yang digunakan selepas sembelihan (kaedah thoracic stiking) adalah diharuskan.

Maka daging haiwan tersebut adalah halal di makan mengikut kepada syarat-sarat berikut:

  • Sembelihan secara sempurna telah terlaksana (putus keempat-empat urat Mari', halum dan wadajain);
  • Kaedah tersebut dijalankan selepas 30 saat penyembelihan atau setelah berlaku pendarahan sempurna (complete bleding);
  • Sembelihan adalah punca kematian kepada haiwan itu dan thoracic stiking hanyalah berfungsi sebagai alat untuk membantu mempercepatkan kematian;
  • Proses kaedah thoracic stiking ini hendaklah dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.

KAEDAH STUNNING: CAPTIVE BOLT

Captive Bolt pula terbahagi kepada 
  1. Penetrative Captive Bolt
  2. Non-Penetrative Captive Bolt (Mushroom-Head Stunner)
  3. Pneumatic Captive Bolt.

1) PNEUMATIC CAPTIVE BOLT

Bagi captive bolt yang dikenali sebagai pneumatic Captive Bolt Gun pula mempunyai ruang udara di hujungnya yang memberi tekanan udara ke dalam otak setelah tengkorak ditembusi. Udara ini memberi tekanan kepada bahagian tertentu dan menyebabkan haiwan tersebut pengsan.



Kaedah stunning mekanikal atau nama lainnya Pnematic Percussive Stunning. Ia boleh didefinisikan sebagai satu kaedah yang menggunakan alat berbentuk seperti cendawan untuk memengsankan haiwan sembelihan. Antara syarat kaedah ini diterima dalam Islam ialah memastikan alat yang digunakan tidak memecahkan tengkorak haiwan, hanya sekadar menyebabkan haiwan pengsan sahaja . Kaedah ini biasa dilakukan ke atas haiwan ternakan besar seperti lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.

Pada 13 Mac 2006, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah berdiskusi mengenai penggunaan pnematic percussive stunning menurut pandangan Islam. Keputusan muzakarah ini telah menetapkan bahawa penggunaan pneumatic percussive stunning dalam sembelihan haiwan halal adalah harus selagi mana ia memenuhi syarat (E-Fatwa, 2015):

  • Hendaklah tiada berlaku keretakan pada tengkorak haiwan sembelihan yang dikenakan stunning
  • Hendaklah haiwan yang itu mati disebabkan proses sembelihan

2) PENETRATIVE CAPTIVE BOLT

Kaedah pemengsanan haiwan menggunakan Pistol captive bolt yang mengandungi sebiji besi keluli yang tajam dihujungnya dan apabila tembakan dilakukan ia akan menembusi otak melalui impak yang sangat kuat. Tembakan biasanya dilakukan pada dahi dan menyebabkan kerosakan pada bahagian-bahagian tertentu pada otak dan menyebabkan haiwan tersebut pengsan kesan dari kerosakan itu.Jika tidak disembelih haiwan tersebut akan mati. 


Bagi lembu alat Pistol captive bolt akan diletakkan di tengah dahi manakala kambing pula  meletakkan alat Pistol captive bolt di ruangan belakang kepala kambing. 

Berasaskan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia pada bulan Mac tahun 2006  stunning jenis Petetrative Captive Bolt yang menyebabkan kematian haiwan adalah tidak dibenarkan dan jatuh hukum haram. Tidak dibenarkan memukul kepala haiwan atau menggunakan kaedah lain yang seumpamanya.


2) NON PENETRATIVE CAPTIVE BOLT (Mushroom Head Stunner)

KaedahPemengsanan haiwan Non Penetrative Captive Bolt (mushroom-head) adalah sama juga seperti  Penetrative Captive Bolt  tetapi ia menggunakan captive bolt yang berbentuk cembung. Kaedah ini mengetuk dan atau mengenakan tekanan kepada tempurung kepala tanpa menembusi tengkorak. Kejutan alat pemukul ini datang dari tembakan  atau tekanan angin yang memantulkan kepada pemukul jenis mushroom-head dan mengetuk di kepala haiwan.


Kejutan ini akan mewujudkan satu gelombang tekanan dalam rongga otak apabila ketukan berlaku dan akan menyebabkan haiwan tersebut pengsan. Walaupun kaedah ini tidak menembusi tengkorak dan tidak mencederakan otak, namun kajian yang dilakukan oleh Dr Mohamed Lutfi dari University Of Queensland, Australia di lapan buah pusat penyembelihan dalam masa 20 bulan pada tahun 2003 hingga 2004 mendapati bahawa 80% - 95% haiwan yang dikaji mengalami keretakan dan pecah tengkorak dan 5% - 20 % mengalami lekukan di tengkorak.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 29 Sept 2005 telah membincangkan Hukum Mengenai stunning Haiwan. Muzakarah telah memutuskan bahawa Kaedah Stunning jenis Penetrative Captive Bolt dan NonPenetrative Captive Bolt (Mushroom Head Gun) adalah haram dan tidak dibenarkan kerana ia boleh menyebabkan kematian haiwan. Hanya kaedah Kejutan Elektrik (Electrical Stunning) sahaja dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat seperti Stunner yang digunakan adalah jenis kejutan di kepala sahaja (head only stunner), kekuatan arus elektrik hendaklah dikawal (tidak boleh melebihi had yang ditetapkan) iaitu antara 0.75 ampere untuk kambing, 2.0 ampere untuk lembu dan tempoh masa aliran elektrik ialah antara 3-6 saat; dan perlu dikawalselia oleh petugas muslim yang bertauliah (JAKIM, 2016).


AL-MAUQUDZAH  (  الموقوذة. )  / TIDAK HALAL DIMAKAN.

Al-Mauqudzah (  الموقوذة. ) adalah  binatang yang mati kerana dipukul dengan tongkat dan sebagainya baginya tidak halal dimakan 

Allah SWT menjelaskan tentang keadaan haiwan yang diharamkan memakannya dalam firmannya 


حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيْرِ وَمَآ اُهِلَّ لِغَيْرِ اللّٰهِ بِهٖ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوْذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيْحَةُ وَمَآ اَكَلَ السَّبُعُ اِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْۗ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
Surah Al Maidah Ayat 3

Maksudnya : Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.

Kaedah stunning jenis Petetrative Captive Bolt dan Non Penetrative Captive Bolt (Mushroom Head Gun) adalah kaedah penembakan atau pemukulan pada bahagian kepala 

Dengan mengunakan alat pistol captive bolt dan peluru khusus proses penembakan ini dilakukan pada ukuran arus yang berbeza-beza sesuai dengan besar kecilnya ukuran lembu.

Kepala yang ditembak dengan peluru tumpul ini menyebabkan hentakan yang kuat boleh mencederakan  dari segi dalaman otaknya, sehingga ternak akan mengalami goyah dan pengsan

Ini kerana kaedah penetrative captive bolt biasanya akan memecahkan tengkorak haiwan dengan tusukan alat yang digunakan.

Jika sekiranya cara ini boleh menyebabkan kecederaan parah pada otak, maka sudah tentu binatang seperti ini mengalami dua kali sakit. Pertama, sakit stunning dan kedua sakit sembelihan.


Sekiranya ia mati sebelum disembelih ia dikira dalam golongan Al-Mauqudzah (  الموقوذة. )  dan tidak halal dimakan.

Wednesday, August 9, 2023

PENGURUSAN ARAH KIBLAT PUSAT SEMBELIHAN

Pengetahuan arah kiblat ini perlu ada bukan hanya untuk melaksanakan tuntutan wajib syarat sah sholat tetapi juga untuk urusan lain (sunat dalam Islam) termasuklah bagi tujuan sembelihan Haiwan.

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Firman Allah : “Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan solat), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah) dan sesungguhnya ketentuan itu adalah benar-benar daripada Tuhanmu. (Ingatlah) Allah sekali-kali tidak lalai akan segala apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah: 149)

Islam adalah agama yang menyuruh agar memudahkan urusan umatnya termasuklah menuntut umatnya tidak menyusahkan dalam urusan kiblat ini. Ini adalah kerana nas al-Quran menyebut agar seseorang menghadap ke arah masjidil haram dengan menggunakan perkataan شطر (arah atau separuh) sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 149

Apakah maksud arah kiblat? 

Arah kiblat merupakan arah جهة ( ke Kaabah yang terletak di Makkah) tempat diarahnya dada setiap umat islam dalam melakukan segala amal ibadah. Dari segi ilmu falak, arah kiblat ditakrifkan sebagai arah Kaabah bagi yang dekat dengan Kaabah yang yakin akan arahnya tetapi bagi yang jauh hanya menghadap ke arahnya dengan perkiraan

Kiblat juga di eja dengan Qiblat, Pada mulanya kiblat mengarah ke Baitulmuqaddis (Jeruselem) Namun pada tahun 642M digantikan menjadi mengarah ke Kaabah di Mekah.


FAKTA MENARIK TENTANG ARAH KIBLAT MALAYSIA.

RUKUN HAJAR ASWAD

Negara Islam yang menghala tepat ke penjuru Rukun Hajar Aswad ini adalah;

  1. MALAYSIA
  2. SINGAPORE
  3. BRUNEI
  4. INDONESIA (Sumatera Utara)

Umat Islam sekitar Nusantara ini (terutama Malaysia, Brunei, Sumatera Utara dan Singapura) bertuah kerana arah KIBLAT kita menghadap RUKUN HAJAR AL-ASWAD. Arah Kompas ialah sekitar 293°Utara atau -67°Utara.

Alangkah bersyukurnya apabila kita mengetahui doa kita rakyat Malaysia berada di pintu doa-doa yang mustajab.

Seseorang itu dituntut untuk berdoa dengan menghadap ke arah kiblat. Ini kerana, ini merupakan salah satu adab berdoa, serta menjadi teladan dan pengamalan para salafussoleh.

HUKUMNYA SUNAT MENYEMBELIH HAIWAN MENGHADAP ARAH KIBLAT

Dalam melakukan sembelihan haiwan sunat hukumnya dan merupakan adab sembelihan yang sangat-sangat dianjurkan kepada juru sembelih menghadapkan dadanya ke arah kiblat dan haiwan tersebut juga dibaringkan dan menghadapkan rusuk kiri haiwan ke arah kiblat dan kepalanya diangkatkan sedikit. 

Ini kerana, apabila sembelihan dihadapkan ke arah kiblat, maka penyembelih turut akan mengadap ke arah yang sama


Penyembelih dianjurkan (Sunat) untuk menghadap kiblat dan menghadapkan binatang sembelihan ke arah kiblat

عَنْ نَافِعٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَأَنَّهُ كَانَ إِذَا أَهْدَى هَدْيًا مِنْ الْمَدِينَةِ قَلَّدَهُ وَأَشْعَرَهُ بِذِي الْحُلَيْفَةِ يُقَلِّدُهُ قَبْلَ أَنْ يُشْعِرَهُ وَذَلِكَ فِي مَكَانٍ وَاحِدٍ وَهُوَ مُوَجَّهٌ لِلْقِبْلَةِ يُقَلِّدُهُ بِنَعْلَيْنِ وَيُشْعِرُهُ مِنْ الشِّقِّ الْأَيْسَرِ ثُمَّ يُسَاقُ مَعَهُ حَتَّى يُوقَفَ بِهِ مَعَ النَّاسِ بِعَرَفَةَ ثُمَّ يَدْفَعُ بِهِ مَعَهُمْ إِذَا دَفَعُوا فَإِذَا قَدِمَ مِنًى غَدَاةَ النَّحْرِ نَحَرَهُ قَبْلَ أَنْ يَحْلِقَ أَوْ يُقَصِّرَ وَكَانَ هُوَ يَنْحَرُ هَدْيَهُ بِيَدِهِ يَصُفُّهُنَّ قِيَامًا وَيُوَجِّهُهُنَّ
إِلَى الْقِبْلَةِ ثُمَّ يَأْكُلُ وَيُطْعِمُ

Dari Nafi’ dari Abdullah bin Umar, jika Ibnu Umar membawa binatang hadyu dari Madinah, binatang itu akan ditanda dengan menggantungkan sesuatu padanya dan bonggolnya akan dilukakan di daerah Dzul Hulaifah. Beliau akan menggantungkan sesuatu sebelum beliau melukakannya. Dua hal ini dilakukan di satu tempat. Sambil menghadap kiblat, beliau menggantungkan sepasang kasut pada binatang tersebut dan melukakannya dari sisi kiri. Binatang ini kemudian dibawa bersama walaupun sewaktu mengerjakan wukuf di Arafah bersama orang yang ramai. Kemudian beliau bertolak meninggalkan Arafah bersama binatang tersebut ketika orang ramai bertolak. Bila beliau tiba di Mina pada pagi 10 Zulhijjah, beliau sembelih binatang tersebut sebelum beliau memotong atau menggondol rambut kepala. Beliau sendiri yang menyembelih binatang hadyu beliau. Beliau bariskan unta-unta tersebut dalam posisi berdiri mengarah ke kiblat dan kemudian beliau memakan sebahagian dagingnya dan sebahagian  lagi beliau berikan kepada yang lain.


Berkata Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu’ (8/408):

استقبال الذابح القبلة وتوجيه الذبيحة إليها وهذا مستحب في كل ذبيحة لكنه في الهدى والاضحية اشد استحبابا لان الاستقبال في العبادات مستحب وفي بعضها واجب وفي كيفية توجيهها ثلاثة أوجه حكاها الرافعي (أصحها) يوجه مذبحها إلى القبلة ولا يوجه وجهها ليمكنه هو ايضا الاستقبال

“(Disunnahkan) orang yang menyembelih untuk menghadap kiblat, dan hendaknya dia juga mengarahkan haiwan tersebut agar menghadap kiblat. Hal ini disunnahkan untuk semua sembelihan, tetapi khusus untuk haiwan hadyu dan qurban lebih ditekankan lagi, kerana menghadap kiblat dalam ibadah adalah dianjurkan, bahkan sebahagiannya diwajibkan. Adapun cara menghadapkan haiwan qurban ke arah qiblat ada tiga pendapat, yang paling benar adalah menghadapkan tempat disembelihnya haiwan tersebut (iaitu lehernya ) ke arah kiblat dan tidak menghadapkan wajah haiwan tersebut, supaya penyembelihnya juga boleh menghadap kiblat.”

Di dalam sebuah perbincangan Fiqh (al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah) juga dijelaskan bahawa diantara etika menyembelih adalah penyembelih menghadap kiblat, dan haiwan yang akan disembelih dihadapkan ke arah kiblat pada organ yang akan disembelih (leher), bukan wajahnya (Mustafa et al. 2009; al-Zuhaili)

HUKUM SEMBELIHAN HAIWAN  JIKA TIDAK  MENGHADAP ARAH KIBLAT

Dalam Kitab Fiqih Islam wa Adilathuhu Juz 4 karya Wahbah az-Zuhaili menjelaskan mengenai hukum sembelihan haiwan  jika tidak menghadap kiblat kerana lupa atau ada uzur,  sembelihan haiwan tersebut masih sah dan tetap halal dimakan.


PENGURUSAN ARAH KIBLAT NEGERI JOHOR

Dalam konteks pentadbiran dan pengurusan arah kiblat, ia termasuk dalam perkara hukum yang terletak di bawah bidang kuasa Mufti Kerajaan Negeri.

Jabatan Mufti Johor merupakan satu-satunya pihak yang berautoriti untuk melakukan penentuan dan semakan arah kiblat dalam Negeri Johor.

Sijil akan dikeluarkan bagi menepis keraguan atau sebagai bukti semakan arah kiblat tersebut telah diperakui.

pemilik premis itu boleh mengajukan permohonan secara atas talian melalui borang rasmi dalam pautan

  1. https://mufti.johor.gov.my/perkhidmatan/e-kiblat/
  2. https://said.johor.gov.my/perkhidmatan/permohonan_kiblat.php

Bagaimana cara menghadap arah kiblat? 
Bagi Mazhab Syafie cara menghadap arah kiblat bergantung kepada dua (2) keadaan:
  1. Dapat melihat Kaabah; hendaklah menghadap ke arah fizikal Kaabah dengan yakin. 
  2. Jauh dari Kaabah; hendaklah menghadap ke arah Kaabah berdasarkan kepada tanda-tanda mungkin ظني atau pasti قطع ي sebagai contoh  di Malaysia, ijtihad arah Kiblat boleh ditentukan melalui perhitungan falak mengikut terbit dan terbenamnya matahari ataupun dengan melihat gugusan bintang (buruj)  atau astronomi dengan menggunakan peralatan yang bersesuaian seperti kompas, teodolait / total station dan sebagainya yang boleh menentukan arah Kaabah,
Konsep dan Penentuan Arah Kiblat

Sejarah Awal penentuan Arah Kiblat 
Sebahagian sarjana Islam awal menggunakan arah selatan walau di mana mereka berada untuk menentukan kiblat kerana tunjuk ajar daripada Rasulullah SAW yang memang Mekah pada masa itu berada di arah selatan  Madinah.Mereka hanya menggunakan arah mata angin tertentu untuk menentukan kiblat.

Hitungan Arah Kiblat Trigonometri (al-muthallathat)
Hitungan adalah berdasarkan arah di sepanjang bulatan gedang (great circle) bumi, ia melibatkan model-model matematik sfera yang mengandungi koordinat geografi tempatan dan koordinat geografi Kaabah.
 
Kaedah hitungan arah kiblat yang digunakan adalah menggunakan konsep Segitiga Sfera atau lebih dikenali sebagai  Trigonometri (al-muthallathat)
Trigonometri (al-muthallathat) diasas oleh umat Islam khusus untuk pengiraan falak. Ilmu falak memerlukan pengetahuan tentang geometri satah dan sfera. Ilmu ini diasas oleh rangkaian ilmuwan Islam termasuk al-Battani, Abu’l-Wafa, al-Tusi dan al-Biruni. Perbincangan trigonometri boleh didapati misalnya dalam Miftah al-Hisab (ditulis pada tahun 1428 Masihi) karya Jamsyid Ghiath al-Din al-Kasyi. Beliau membicarakan ilmu ini dalam bab ilmu al-misahah yang melibatkan keluasan dalam bentuk segi tiga dan beliau mentakrifkan segi tiga sebagai satah yang dilengkungi oleh tiga garis lurus yang digelar adla’ al-muthallah (sempadan segi tiga). Trigonometri ialah pengajian tentang segi tiga.

Ilmu astronomi berkembang di dunia Islam, terutamanya ketika Zaman Abbasiyyah, disebabkan apabila empayar Islam berkembang, orang Islam telah tersebar di merata tempat dan jauh daripada Mekah.

Permulaan sekitar abad ke 12, lima kurun selepas hijrah Peta dunia pertama berjaya dilakar oleh al-Idrisi al-Qurtubi al-Hasani al-Sabti seorang geografer dan kartografer muslim 

Akhirnya, al-Bazdawi berjaya dengan bantuan ilmu falak yang dikaji ahli astronomi Muslim pada zamannya untuk mendapatkan arah kiblat yang hampir tepat dengan kiraan moden.

Dengan kaedah pengiraan yang tepat, ilmuan Islam berjaya menyenaraikan arah kiblat di pelbagai lokasi. Pada kurun ke-14, sebanyak 2,880 koordinat ditentukan arah kiblatnya. Kesungguhan menentukan arah kiblat dengan lebih tepat telah membawa kepada perkembangan ilmu astronomi dan trigonometri.

Antara kurun ke 9 hingga kurun ke16,  seorang ilmuan bernama Ibnu Suraqa pertama kali mengembangkan tentang skema arah kiblat dengan 8, 11 hingga 12 sektor arah, setelah itu muncul lagi tulisan geografi tentang arah kiblat yang ditulis oleh Yaqut sekitar tahun 1200 M, al-Qazwini sekitar tahun 1250, dan tulisan yang lain ditulis oleh Ahmad al-Sharafi al-Safaqusi di Tunisia pada tahun 1575 M


Pada kurun ke 14 Sebuah Qibla indicator  penanda arah Kiblat untuk daerah Kairo yang dibuat oleh Khalil bin Ramtash , arah kiblat pada horizontal sundial (Jam Matahari) ini menunjukkan arah 34° SE (Selatan ke Timur), namun kebanyakan astronom dari Mesir menggunakan arah 37° SE sebagai standart arah kiblat mereka. 

Manakala sebuah lagi Qibla indicator yang terletak pada horizontal sundial (Jam Matahari) berasal dari Tunisia, karya dari Abu’ Qasim bin Hasan al-Shaddad yang menunjukkan arah kiblat pada alat tersebut berupa 45° SE (Selatan ke Timur), kemudian arah ini digunakan sebagai arah kiblat di Maroko

Bermulanya kurun ke 16, Arah kiblat dari berbagai tempat telah dibuat penanda arah melalui penggunaan  Astrolabe dan Quadran oleh ilmuan islam iaitu Muhammad bin Abil Qasim al-Isfahani  dan Muhammad bin Hamid al-Isfahani 


Bagaimanakah ijtihad¹ arah kiblat? 
Ijtihad arah kiblat adalah berusaha bersungguh-sungguh dalam menentukan azimut arah kiblat berpandukan kepada kaedah berikut:
  1. Tanda-tanda fizikal seperti matahari, bulan dan bintang.
  2. Peralatan seperti kompas, teodolit, tongkat istiwa’, rubu’ mujayyab dan sebagainya.
  3. Bertaqlid (bertanya atau mengikut) orang yang berijtihad seperti penduduk setempat. Jika kesemua kaedah di atas tidak didapati, maka seseorang itu harus berijtihad sendiri dan menghadap ke mana-mana arah.
Azimut adalah merupakan satu (1) unit ukuran yang diukur dalam unit darjah atau simbol (°). Sudut yang diukur dari Utara mengikut arah jam dinamakan sudut azimut (Az). Istilah ini biasanya digunakan dalam banyak aplikasi termasuk pandu arah, astronomi, kejuruteraan, pemetaan, perlombongan dan artileri. (Ilmu Falak: Teori, Praktikal Dan Hitungan)

Kaedah Penentuan / Penandaan Arah Kiblat 

1) Fenomena Matahari Istiwa atas Kaabah (Istiwa Adzam)

Pada kurun ke a4  kaedah Istiwa’ A’dzham telah  dipelopori seorang ilmuan islam iaitu Nasir Al-Din Al-Tusi yang merumuskan metode meluruskan arah kiblat secara sempurna.

Istiwa'  Adzam di kaabah merupakan satu peristiwa apabila matahari berada tegak di atas kaabah sehingga bayang kaabah tidak akan kelihatan ketika itu. Ketika kedudukan matahari berada di atas kaabah , bayang objek tegak yang terhasil di tempat lain akan menunjukkan arah ke kaabah .


Istiwa Adzam berlaku dua kali setahun. 
Fenomena ini terjadi pada: 
  1. 28 Mei ± jam 5.16 petang WPM 
  2. 16 Julai ± jam 5.28 petang WPM. 

Ketika matahari istiwa atas Kaabah, bayang objek tegak lurus akan membetuli arah Kiblat

2) Kaedah Tongkat Istiwa

Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ قِبْلَةٌ
Terjemahannya : Arah antara timur dan barat adalah qiblat. (HR al-Imam al-Tirmizi, Sahih)


Kaedah Tongkat Istiwa adalah cara tradisional untuk mendapatkan garis meridian arah utara / selatan dan menentukan timur barat sesuatu tempat. 

Pilih kawasan  pada suatu kawasan rata. yang tidak terlindung matahari  
Pacakkan / mendirikan sebatang kayu di tengah-tengah kawasan itu.
Buatkan bulatan mengelilingi kayu tersebut
Tetapkan waktu (samaada 15 minit sebelum waktu zuhur) Perhatikan bayang-bayang ini menyentuh bulatan tersebut. Tandakan B ( Barat )


Seterusnya 15 minit selepas waktu zuhur Perhatikan bayang-bayang ini menyentuh bulatan tersebut. Tandakan T ( Timur )
Kemudian buat satu garisan lurus yang menyambung titik B (Barat) dan Titik T (Timur) maka ianya menujukkan garisan Timur Barat
Kemudian buatkan sudut  90° untuk mendapatkan garisan U (Utara) dan S ( Selatan )
Kemudian guna alat jangka  sudut untuk mendapatkan arah azimut Kiblat (291°- 293°)



2) Kaedah Buruj / Bintang

Buruj merupakan kelompok bintang-bintang yang membentuk sesuatu gambaran di langit malam. 

Perhatikan ayat Quran berikut:

وَعَلٰمٰتٍ‌ؕ وَبِالنَّجۡمِ هُمۡ يَهۡتَدُوۡنَ

Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju. (An-Nahl 16:16)

Buruj Bintang Manusia zaman silam menamakan buruj mengikut bentuk-bentuk tertentu yang merujuk kepada mitos, lagenda dan juga haiwan. 

Antara buruj bintang yang boleh dijadikan pedoman untuk berijtihad arah kiblat adalah buruj al-Babadur (Orion).


Deretan tiga bintang iaitu Alnitak, Alnilam dan Mintaka apabila diunjurkan ke arah barat akan menunjukan arah kiblat bagi penduduk di Malaysia dan negara yang seranta

Buruj bintang yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan arah kiblat ialah buruj Orion (Al-Babadur). Tiga bintang berderetan dalam buruj ini iaitu Mintaka (δ Orionis), al-Nilam (ε Orionis) dan al-Nitak (ξ Orionis) boleh digunakan sebagai panduan arah kiblat.


Buruj sentiasa berada di langit, sama ada pada waktu malam atau siang. Namun, buruj akan dapat dilihat dengan jelas pada waktu malam tanpa cahaya matahari. Walau bagaimanapun, buruj yang kelihatan dari kedudukan kita berubah-ubah mengikut musim dan masa tertentu.



2) Kaedah Terbebam Matahari
Berpandukan kepada kedudukan bayang matahari pada waktu pagi dan petang atau semasa matahari hampir terbenam.

 Dari Abu Hurairah r.a. berkata sabda Rasullah s.a.w. 
“ Di antara Masyrik dan Maghrib terletak Kiblat”. (Hadis diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibni Majah)

Rasulullah s.a.w. telah memberi pendekatan dan penekanan arah letaknya Kiblat itu di antara Masyrik (matahari terbit) dan Maqhrib (matahari terbenam). Bagi mereka yang berada di Masyrik atau di Maqhrib, Kiblatnya tidak ke arah utara atau ke selatan. Sekurang-kurangnya mereka dari Masyrik (timur), Kiblat mereka adalah kearah barat dan mereka dari Maqhrib (barat), Kiblat mereka adalah kearah timur. 

Dalil-dalil Dari Hadith Rasullah s.a.w. Kaedah yang telah di tetapkan oleh Hadith di atas, adalah merupakan garis panduan umum. Namun demikian penentuan dengan lebih tepat boleh dilaksanakan melalui ilmu falak atau astronom

Tempat matahari terbenam boleh dijadikan sebagai arah kiblat. Bagi mendapatkan arah kiblat yang tepat perlu mengetahui nilai azimut tempat matahari terbenam. Ini kerana, tempat matahari terbenam di ufuk sentiasa berubah setiap bulan malah hampir setiap hari.

Secara amnya merujuk kepada kedudukan matahari terbenam bagi tujuan menentukan arah kiblat adalah tidak tepat.

 Ini disebabkan arah terbenam matahari di Malaysia akan berubah-ubah dari azimut 235° hingga 295°.

Namun begitu, salah satu langkah untuk tujuan berijtihad arah kiblat, boleh digunakan jika diketahui perbezaan sudut antara matahari terbenam dan arah kiblat.

Berikut adalah nilai azimut atau nilai darjah yang perlu ditambah dan dikurangkan berdasarkan perubahan kedudukan terbenam matahari setiap bulan.

Panduan petunjuk sudut dengan jari untuk menentukan nilai bukaan sudut.

Apa yang dimaksudkan arah menghadap itu hendaklah tidak melebihi 45 darjah dari arah kiblat mengambil kira sudut setiap arah iaitu utara, selatan, timur dan barat yang mempunyai 90 darjah bagi setiap sudut. 45 darjah itu juga berdasarkan arah yang Nabi SAW sebutkan iaitu timur dan barat. Apabila melebihi 45 darjah dari arah yang tepat akan mengakibatkan seseorang akan terkeluar dari arah tersebut kerana arah keseluruhannya 90 darjah. Maka arah yang paling tengah dalam 90 darjah adalah 45 darjah ke kanan dan 45 darjah ke kiri.

Apakah peralatan yang boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat? 
Terdapat beberapa peralatan yang boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat, antaranya:
  1. Peralatan yang mudah dan praktikal adalah kompas dan aplikasi mudah alih berasaskan Global Positioning System (GPS). 
  2.  Peralatan yang memerlukan kemahiran khusus untuk mengendalikannya seperti total station, teodolit, Global Navigation Satelite System (GNSS), tongkat istiwa’ dan rubu’ mujayyab.

Menggunakan Tiodolait 
Penggunaan tiodolait memerlukan kemahiran yang tinggi. Alat ini digunakan untuk mengukur bacaan sudut ufuk dan menegak. Ia memberikan bacaan sudut pada tahap kejituan dan ketepatan yang tinggi. Terdapat berbagai jenis tiodolait moden yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Bagi tujuan penandaan arah kiblat, tiodolait jenis digital adalah yang paling mudah digunakan. 


Tiodolait bukan sahaja digunakan menandakan arah kiblat tetapi turut digunakan dalam menentukan tarikh 1 Ramadhan permulaan puasa , tarikh hari raya 1 Syawal dan Hari raya Haji bagi umat muslim

Menggunakan Kompas Prismatik 
Pada abad ke-13, Semasa era pemerintahan Sultan al-Ashraf dari Yaman penggunaan  mangkuk kompas atau disebut dengan tasa digunakan untuk menunjukkan arah kiblat. Kompas tersebut  digunakan untuk menunjukkan arah kiblat,  di daerah Yaman, Kairo, Iran, Asia Tengah
Manakala terdapat juga  kompas dalam bentuk mangkuk (Ceramic Qibla-Bowl) Alat ini dibuat oleh Thabit (tertulis pada ukiran ditengah mangkuk) dari Damaskus
 

Penandaan arah kiblat dengan menggunakan kompas banyak diamalkan di kalangan masyarakat Islam pada masakini. Arah yang ditunjukkan oleh sesuatu kompas adalah merujuk kepada Arah Utara Magnet. 


Perbezaan sudut diantara arah utara magnet dan arah utara benar dikenali sebagai Sudut Pesongan Magnet. Magnitud sudut pesongan ini, mungkin berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan dari hari ke hari pada suatu tempat yang sama.


Kompas akan memberi nilai dan arah seperti Utara, Timur, Selatan dan Barat. Cuma, di sini kita hanya perlu mengetahui nilai azimut dan arah kiblat yang betul. Purata nilai azimut arah kiblat bagi seluruh Malaysia adalah di antara 291° hingga 293° tertakluk kepada tempat anda berada. Perlu diingat, nilai jarum dan arah pada kompas ini amat mudah tertarik dengan unsur-unsur besi dan arus elektrik yang berada di sekeliling kita. Kompas yang digunakan juga perlu diselenggara (calibrate) terlebih dahulu.

Perisian yang dimuat turun dalam peranti pintar (gadget) digunakan untuk menentukan arah kiblat?

Menggunakan perisian yang terdapat dalam peranti pintar (gadget) kebanyakannya menggunakan kaedah medan magnet Utara seperti kompas. Oleh itu, ianya perlu digunakan secara berhati-hati dengan mengambil kira unsur-unsur tarikan besi atau arus elektrik kerana ia boleh memberi kesan kepada bacaan nilai dan arah yang kurang tepat. 


Walau bagaimanapun, perisian yang berasaskan sistem penentu kedudukan sejagat (Global Positioning System-GPS) lebih stabil dan diutamakan.

EASY QIBLA adalah antara apps yang dapat membantu muslimin & muslimat untuk menentukan arah kiblat.
Sehingga kini ianya hanya boleh di install melalui play store(android).
Pengguna perlu tahu dan pastikan kedudukan sesuatu bangunan/lokasi sebelum kedudukan arah kiblat dapat ditentukan.


Menentukan arah kiblat bagi Tapak Pembinaan Baru  Rumah Sembelih

Penting mengetahui arah kiblat supaya dapat mengelakkan melakukan perbuatan yang dilarang. Jurureka bentuk dan arkitek hendaklah mengambil tahu tentang arah kiblat sesebuah rumah penyembelihan sebelum merekabentuk tempat tersebut. Sebagai contoh adalah posisi tempat sembelihan haiwan, kedudukan surau dan elakkan kedudukan tandas / bilik air di bahagian hadapan arah kiblat. 

Sebaik sebelum Rumah Sembelih dibangunkan tentukan dulu arah kiblatnya.


Bagi kerja-kerja permulaan membuka tanah bagi tujuan pembinaan baru bangunan rumah sembelih. Kerja ukur mestilah dimulai dengan mencari DATUM yang sah iaitu 3 batu sempadan yang masih berkeadaan baik dan masih sama seperti mana dlm kedudukan Pelan Akui

Setelah DATUM bagi Bearing dan Kordinit disahkan dengan mengikat Bearing pada Batu Konkrit lama  sempadan Lot tersebut, Kerja traverse perlu di teruskan dengan membuat satu station kawalan horizontal di tengah-tengah tapak cadangan bagi bangunan baru Rumah Sembelihan tersebut. Sekurang-kurang 2 Reference Mark (RM)  perlu dibuat selari dengan garis Bearing arah kiblat. Reference Mark (RM) perlu dibuat jauh sedikit dari tapak pembinaan untuk dijadikan baseline bagi gridline bangunan tersebut. 


Bangunan tersebut akan mengikut arah kiblat terutama ruangan tempat sembelihan ternakan. Dengan adanya Reference Mark (RM) senanglah arah kiblat  ditanda apabila mula  kerja-kerja pembinaan.

Membuat Semakan Mengukur dan penentuan Arah Kiblat  bagi  Rumah Sembelih yang sedia ada

Bagi Rumah sembelih sedia ada, Pemilik premis perlulah membuat permohonan kepada Bahagian Falak Jababatan Mufti Negeri masing-masing untuk  membuat Semakan semula dengan mengukur atau memperbetulkan arah kiblat supaya ketepatan penentuan arah kiblat di tempat sembelih agar lebih tepat.  

Penentuan dan semakan arah kiblat mengunakan Kaedah data bearing matahari dengan mengunakan peralatan ukur seperti kompas prismatik berskala Vernier S25, theodolite Topcon DT-106 & total station yang akan dilakukan Juru Ukur yang berautoriti.

Dengan kaedah ini, arah kiblat adalah tepat, kekal dan tidak lagi berubah-berubah yang membantu kita untuk menunaikan kewajipan dan amal ibadah dengan lebih yakin













Semakan arah kiblat amat penting kerana 1 darjah kedudukan arah yang tersasar bersamaan dengan jarak sejauh 122 kilometer dari Kaabah


Kepentingan Semakan Arah Kiblat 
Bagi penentuan arah kiblat yang lebih tepat, masyarakat Islam dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti iaitu Jabatan /Pejabat Mufti Negeri-Negeri dalam menentukan arah kiblat diantaranya kedudukan arah Rumah Penyembelihan Haiwan


Semakan itu penting bagi memastikan arah kiblat di semua premis kerajaan, swasta mahupun kawasan tumpuan awam adalah tepat dan tidak meragukan.

Justeru itu, berijtihad dalam menentukan arah kiblat perlulah dilakukan dengan sebaik-baik cara yang termampu oleh kita umat Islam. 

Dengan perkembangan teknologi dan peralatan moden masa kini, penentuan serta penandaan arah kiblat dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna. Teknologi dan kaedah yang diamalkan sekarang adalah hasil dari penambahbaikan daripada kaedah-kaedah terdahulu

.

والله أعلم بالصواب

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)