Saturday, December 3, 2022

PELAKSANAAN IBADAH AQIQAH

Takrif & Hukum Aqiqah

Aqiqah menurut istilah bahasa maksudnya “rambut yang tumbuh di atas kepala bayi pada kala waktu lahirnya.” 

Aqiqah menurut istilah hukum syarak  aqiqah ialah “penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, di samping mencukur atau memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu.”

Hukum aqiqah anak lelaki dan hukum aqiqah anak perempuan adalah sunat muakkad – iaitu sunnah yang dituntut  dan digalakkan walaupun ianya bukan sesuatu yang wajib.

Imam Syafie’ membuat kesimpulan tersebut daripada hadith yang di mana Nabi SAW bersabda:

Maksudnya:“Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Maksud hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

 

Hadith Salman Bin Amir al-Dhabbi RA:

Aku mendengar nabi bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya:“Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.

Riwayat al-Bukhari (2839)

 

Kenapa perlu melaksanakan Aqiqah?
Kerana ibadah Aqiqah merupakan suatu tanggungjawab ibu bapa untuk menunaikan hak terhadap anak yang dilahirkannya.


Hikmah dan kelebihan Aqiqah

·         Menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga sempena kelahiran bayi.

·         Menghebahkan berita tentang kelahiran anak supaya tidak timbul prasangka.

·         Mensyukuri nikmat mendapat zuriat daripada darah daging sendiri.

·         Bayi selamat dilahirkan dalam keadaan sihat dan sempurna.

·         Menghindari bayi daripada terkena penyakit.

·         Menghindari anak daripada gangguan syaitan.

·         Mampu menyokong tumbesaran dan kecerdasan minda anak-anak.

·         Menghidupkan sunnah Nabi SAW ketika menyambut kelahiran bayi.

·         Menghindari amalan bida’ah seperti lenggang perut dan baby shower atau amalan yang tidak bertepatan dengan sunnah Nabi SAW.

·         Mengeratkan hubungan silaturahim dengan mengadakan kenduri Aqiqah.

·         Menghindari sifat kedekut dengan memberi makan kepada fakir miskin.


 Siapakah yang bertanggungjawab untuk melaksanakan Aqiqah?

Ibadah Aqiqah adalah tanggungjawab wali iaitu ibu bapa pada anak tersebut. Jika sekiranya ibu bapa telah meninggal dunia dan belum sempat meng-Aqiqah-kan anaknya, maka datuk, bapa saudara atau penjaga anak tersebut bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

Kadar Haiwan Aqiqah 

Aqiqah dilakukan dengan bahagian seperti berikut:

·         1 ekor kambing untuk anak perempuan

·         2 ekor kambing untuk anak lelaki

·         Atau pun seekor lembu dibahagikan kepada 7 bahagian dan 1 bahagian bersamaan 1 ekor kambing.

 

Bahagian ini adalah daripada hadis riwayat Aisyah berikut

Maksudnya:“Rasullulah SAW memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.”

 

1 bahagian lembu bersamaan 1 ekor kambing pula ada disebut oleh al-Khatib al-SYarbini Rahimahullah di dalam Kitab Mughni al-Muhtaj:

وَكَالشَّاةِ سُبْعُ بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، فَلَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِيهَا جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ

Maksudnya: Dan bagi seekor kambing itu 1/7 (satu bahagian) dari unta dan lembu. Sekiranya disembelih unta atau lembu itu dari 7 orang anak atau dikongsi secara beramai-ramai, ia juga dibolehkan sama ada dengan sembelihan itu kesemua (bahagian) diniatkan untuk aqiqah atau sebahagian untuk aqiqah dan sebahagian lagi hanya untuk endapatkan daging sahaja.

 

·      Tetapi, aqiqah bayi lelaki dengan dua ekor kambing bukanlah satu kewajiban.  Ini kerana Nabi SAW pernah membuat aqiqah untuk cucu Baginda Saidina Hasan RA dan Saidina Husin RA masing-masing dengan seekor kibas.

·        Imam Malik, Asy Syafi’e, Ahmad dan jumhur ulama berpendapat, aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri (sama seperti ibadah korban). Juga dibolehkan seekor unta atau seekor lembu misalnya dikongsi sehingga tujuh orang walaupun ada bahagian daripada lembu atau unta itu bukan untuk aqiqah.

·         Apabila ibu bapa itu tidak mampu membuat aqiqah anaknya, ketika berusia 7 hari, bolehlah diperbuatnya ketika umur anak 14 hari. Kemudiannya ketika umur 21 hari. Jika tidak boleh, maka sunat diperbuatnya hingga anak itu dewasa (baligh).

·          

Bolehkan melaksanakan Aqiqah untuk dirinya sendiri setelah dewasa?
Jika seorang anak sudah dewasa, tetapi belum dibuat aqiqahnya oleh ibu bapanya, maka sunat baginya membuat aqiqah untuk dirinya sendiri.( jika ia berkemampuan)

Kerana Nabi SAW juga melaksanakan Aqiqah untuk dirinya sendiri selepas dilantik menjadi nabi iaitu ketika usia baginda 40 tahun.

Bolehkah melaksanakan Aqiqah untuk anak lelaki hanya dengan seekor kambing dahulu, kemudian seekor lagi akan sempurnakannya pada masa yang lain?
Boleh, jika anda tidak mampu melaksanakan Aqiqah dengan 2 ekor kambing sekaligus.

Perlukah melaksanakan Aqiqah Anak yang meninggal dunia dalam kandungan dan meninggal dunia sebelum sempat hari ke-7 kelahiran untuknya?
Harus melaksanakan Aqiqah untuk bayi yang telah meninggal dunia sama ada ia meninggal dalam kandungan ataupun setelah melebihi tempoh 4 bulan atau ia meninggal dunia sebelum sempat hidup pada hari ke-7 kelahiran, sebagai tanda syukur dikurniakan kesempatan memiliki zuriat walaupun hayatnya tidak panjang. Hukum melaksanakannya harus semata-mata, tidak disunatkan sepertimana tuntutan sunat mu’akkad ke atas pelaksanaan Aqiqah pada hari ke-7 kelahiran bayi.

Waktu melakukan  Aqiqah 

Aqiqah boleh dilakukan untuk anak bermula dari 7 hari sehingga anak itu akil baligh.

Selepas itu, gugurlah tuntutan untuk ibu bapa aqiqah bagi anak mereka berpindah kepada anak itu sendiri.

Had waktu aqiqah sebenarnya berbeza mengikut mazhab. Anda boleh rujuk di bawah ini:

1.    Imam Malik: Tepat hari ke-7, bukan selepas atau sebelum

2.    Mazhab Hanbali: Pada hari ke 7, 14, 21 atau setiap 7 hari berikutnya sehingga anak baligh. Setelah baligh, tiada lagi aqiqah untuknya

3.    Mazhab Syafie’: Hingga mencapai baligh. Selepas itu tuntutan aqiqah jatuh kepada dirinya sendiri.

  

Umur Haiwan Aqiqah 

Haiwan untuk perlaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk ibadah korban.

1.    Kibas - Satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan

2.    Kambing  dan biri-biri- Satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan

3.    Lembu dan kerbau - melebihi dua tahun

4.    Unta - melebihi lima tahun


Syarat Sah Anak Lelaki & Perempuan 

1. Niat aqiqah

Semasa menyembelih binatang aqiqah, penyembelih perlu berniat aqiqah dengan nama anak yang berkenaan.


Niat penyembelihan aqiqah:

"Aku jadikan penyembelihan binatang ini sebagai aqiqah untuk anakku _____________ ( nama anak yang diaqiqahkan) kerana Allah Ta'ala."


Tetapi jika penyembelih terlupa untuk berniat aqiqah dengan nama bayi tersebut, ibadah aqiqah masih diterima sekiranya telah berniat untuk melakukan ibadah aqiqah ke atas anak semasa membeli dan menyembelih. 

Aqiqah tersebut juga sah walaupun anak yang diniatkan itu tiada di lokasi penyembelihan.

2. Binatang aqiqah adalah sempurna

Syarat binatang sah adalah binatang berkaki empat yang halal dimakan sebagai contoh kambing, kerbau, kibas, biri-biri, lembu dan unta


Bodyscore 1 - kurus tulang
Bodyscore 2 - kurus tapi nampak rusuk lagi tapi ada isi sikit berbanding score 1
Bodyscore 3 - berisi dan rusuk sudah tenggelam tapi tulang punggung masih nampak
Bodyscore 4 - tulang punggung nampak sikitt je,yang lain semua berisi.
Bodyscore 5 - tak nampak tulang langsung

Haiwan tersebut harus sihat, cukup umur dan sempurna dari segi fizikal (tidak terlalu kurus).

Kecacatan yang menyebabkan haiwan itu tidak sempurna adalah seperti buta sebelah ataupun kedua-dua mata, kaki tempang, mempunyai sebelah telinga atau terlalu kurus dan sakit. 

Haiwan tersebut juga perlulah tidak bunting.

Namun jika bunting, haiwan tersebut bukanlah haram dimakan.

Siapakah Yang Layak Mendapat Bahagian Aqiqah?

Daging aqiqah juga disunatkan untuk dimakan sebahagian. Selebihnya diberikan kepada fakir miskin dan yang memerlukan supaya lebih ramai menerima agihan daging Aqiqah tersebut

Cara pengagihan daging aqiqah:

·         ⅓ bahagian untuk dimakan sendiri

·         ⅓ bahagian untuk sahabat atau kenalan

·         ⅓ bahagian untuk saudara Islam yang memerlukan

Ini berdasarkan kata-kata Aisyah RA:

“Sesungguhnya haiwan korban untuk aqiqah itu tidak dipatah-patahkan di bahagian tulangnya, ia juga adalah untuk dimakan oleh kita dan diberi makan (kepada fakir miskin).” (Ibn Abi Shaybah)

Bagaimana untuk menguruskan daging Aqiqah?

Daging aqiqah perlu disedekahkan dalam keadaan sudah dimasak. Lebih bagus disedekahkan kepada fakir miskin baru disedekahkan kepada orang kaya.

Hadis riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah menyatakan bahawa:

Maksudnya:“menyedekahkan daging aqiqah dalam keadaan sudah dimasak itu adalah sunnah.” 

(maksud hadis)

Daging aqiqah sunat dimasak dengan yang manis-manis, dengan doa harapan agar akhlak dan kelakuan anak itu kelak menjadi manis dipandang orang. Manakala, tulang-tulang haiwan aqiqah sunat dipotong pada sendi-sendinya..

Perbezaan Korban & Aqiqah

 Antara perbezaan korban dan aqiqah ialah:

1.    Daging korban lebih utama disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah iaitu belum dimasak. Manakala daging aqiqah lebih utama disedekah kepada fakir miskin dan boleh juga kepada orang-orang kaya dalam keadaan sudah dimasak.

Hadis riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah menyatakan bahawa:

“menyedekahkan daging aqiqah dalam keadaan sudah dimasak itu adalah sunnah.” (maksud hadis)

 

2.    Daging aqiqah sunat dimasak dengan yang manis-manis, dengan doa harapan agar akhlak dan kelakuan anak itu kelak menjadi manis dipandang orang.

3.    Tulang-tulang haiwan aqiqah sunat dipotong pada sendi-sendinya manakala tulang-tulang haiwan korban tidak sedemikian.

4.    Tempoh menyembelih ternakan korban hanya 4 hari dalam setahun, iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah sedangkan menyembelih ternakan aqiqah tidak terbatas kepada hari-hari tersebut, bahkan boleh dibuat pada bila-bila hari yang sesuai.

5.    Tuntutan melakukan ibadah aqiqah hanyalah sekali sahaja sepanjang hayat, manakala tuntutan melakukan ibadah korban ialah setiap tahun hijrah.

Aqiqah biasanya dilakukan pada bayi tersebut berusia 7, 14 atau 21 hari. Pada majlis aqiqah selalunya, inilah perkara yang biasanya dilakukan:

·         Cukur Jambul

·         Tahniq

Saranan tertib yang paling terbaik untuk sembelihan mendahulukan majlis aqiqah terlebih dahulu sebelum melakukan cukur rambut dan pemberian nama  kepada anak tersebut.

Marilah sama-sama kita meningkatkan kualiti diri kita di sisi Allah SWT dengan memperbanyak bersedekah. Doakan agar sedekah ini menjadi saham kita di akhirat nanti.

Wallahu Ta’ala A’lam.

No comments:

Post a Comment